Laman Utama
"Saya Terima Dengan Hati Yang Terbuka" - Ini Kenyataan Neelofa Berhubung Kompaun RM60,000
Selebriti dan usahawan, Neelofa tampil memberi kenyataan berhubung isu dia bersama suami serta ahli keluarga dikenakan kompaun RM60,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis perkahwinannya serta merentas negeri.
Menurut Neelofa, dia telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
"Seperti yang telah diberitakan, ya, saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris.
"Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa dan juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP," katanya kepada pihak media.
Dalam pada itu, hos rancangan N To N ini juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik dalam menguruskan kesnya.
"Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya.
"Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian," katanya lagi.