Laman Utama

"Saya Terpaksa Tipu Ellie Cakap Nak Ke Bengkel Kereta Padahal Cucuk Vaksin" - Azri Iskandar

Amri Hassan
30/09/2021
05:55 MYT
Sponsor Banner
"Saya Terpaksa Tipu Ellie Cakap Nak Ke Bengkel Kereta Padahal Cucuk Vaksin" - Azri Iskandar
Pelakon Azri Iskandar mengesahkan dirinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer pada 16 Ogos lalu.
Jelas Azri, 53, pada mulanya dia berdepan dilema untuk mendapatkan suntikan vaksin namun perlu melakukannya demi menjaga periuk nasi keluarga.
"Memang benar, saya sudah lengkap dua dos vaksin. Suntikan pertama pada 27 Julai dan keduanya pada 16 Ogos lalu.
"Saya risau akan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga saya, apabila kerajaan menetapkan syarat wajib perlu lengkap dua vaksin untuk terbabit dengan penggambaran, saya menjadi semakin risau.
"Mujurlah nama saya dipanggil untuk temujanji vaksin di MySejahtera. Itu pun saya daftar diam-diam tanpa pengetahuan Ellie.
"Selepas sebulan lengkap vaksin Alhamdulillah, tiada apa-apa kesan sampingan, cuma saya demam dua hari selepas vaksin dos kedua," katanya kepada Gempak.
Cerita Azri, dia terpaksa merahsiakan temujanji suntikan vaksin pertama dan keduanya daripada pengetahuan Ellie kerana risaukan reaksinya.
"Dia (Ellie) tak tahu pun saya ada temujanji vaksin, saya tipu dia saya kata nak ke bengkel kereta. Selepas bincang dengan anak saya, Nur Anis Mastura, dia sendiri temankan saya ke klinik di AU5.
"Memang saya berdepan dilema macam manalah nak cerita kepada Ellie sebab risau reaksinya nanti. Sampailah ke temujanji kedua pun saya terpaksa berbohong sekali lagi pada Ellie, mahu ke bengkel kereta. Mujurlah proses suntikan itu sekejap saja," tambahnya.
Bagaimanapun, Azri terpaksa menceritakan perkara sebenar apabila mendapat tawaran berlakon bersama beberapa rumah produksi baru-baru ini.
Reaksi Ellie kata Azri; "You ni pun tak sabar-sabar, tunggulah dulu. Kajian masih baru."
Tegas Azri, biarpun tidak sependapat mengenai penerimaan vaksin, rumah tangga mereka masih harmoni.
Ditanya pula mengenai reaksi anak-anaknya jawab Azri mereka menerima pendiriannya selaku ketua keluarga untuk mencari rezeki berbekalkan dunia seni.
"Semakin lama hutang semakin bertambah, nanti datang pula penyakit lain disebabkan terlampau stress. Mujur, anak-anak saya semuanya memahami situasi dan tahu saya perlu bekerja dengan syarat lengkap divaksin.
"Saya harap suatu masa nanti, anak-anak saya pun semuanya akan ambil vaksin apabila mereka sudah cukup yakin. Begitu juga Ellie," ujarnya yang kini menjalani penggambaran drama bersiri lapan episod berjudul Kuasa terbitan Astro.
Pada masa sama, Azri bersyukur anak ketiganya daripada perkahwinan terdahulu, Nur Anis juga telah lengkap dos kedua vaksin jenis AstraZeneca.
Sebelum ini, Ellie pernah menemani dua anaknya, Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 12, membuat laporan polis atas alasan mahu mempertahankan hak mereka menolak vaksin COVID-19 yang mahu dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar sekolah.
Ellie juga baru-baru ini memberitahu dia akur dengan tindakan Azri yang mendapatkan suntikan vaksin senyap-senyap.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar