Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Sayang Saya Lagi Tak?”-  Cacat Penglihatan & Wajah Berubah, Jawapan Suami Selepas Kemalangan Buat Masitah Tersentuh

Syafiqah Jalal 17/05/2023 | 13:44 MYT
Baru-baru ini tular seorang wanita dengan kisah kecekalan dan sikap positifnya selepas menghadapi ujian besar ketika kemalangan awal tahun lalu sehingga mengubah fizikalnya menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Mashy atau nama lengkapnya Masitah Mohd Afandy menjadi tumpuan selepas kisahnya yang memberi kesedaran serta muhasabah diri buat ramai pihak.
Terbaharu, menerusi segmen #SinarKongsi di radio Sinar, Masitah yang hadir sewaktu memenuhi jemputan di Pagi Di Sinar berkongsi pengalamannya sebaik sahaja sedar dari kemalangan yang menimpanya.
Masitah diajukan soalan bagaimanakah penerimaan suaminya selepas dia alami kemalangan berkenaan.
“Masa betul-betul sedar, selepas tiada lagi pengaruh ubat iaitu dalam hari ke 14… soalan pertama yang saya ajukan kepada suami, ‘sayang saya lagi tak? Nanti nak cari lain tak?’
“Tapi alhamdulillah selepas itu, saya tanya lagi jika saya tak dapat ‘perform' menjadi isteri yang baik adakah dia akan mencari orang lain tapi dia jawab tak kerana dia akan fokus kepada saya.
“Jadi saya doakan kesetiaan dan pengorbanan dia selama menjaga say aini sebagai imbangan yang berat untuk dia masuk ke syurga,” kongsinya.
Sementara itu, suami yang berada di sini menemani Masitah itu juga turut ditanya penerimaannya sebagai suami.
“Kalau berkenaan itu, saya boleh kata setakat ini saya tidak akan jadi apa yang saya sekarang kalau tak ada dia.
“Jadi apa pun keadaan dia, insya-Allah saya akan sayang dia sampai akhir hayat dan jaga dia dengan sangat baik,” jawabnya.
Jawapan suaminya itu membuatkan Masitah terharu dan tersenyum mendengarnya.
Perkongsi itu dimuat naik di akaun Instagram Sinar dan mendapat perhatian pengikut laman sosial berkenaan yang rata-rata memuji hubungan mereka sebagai suami isteri.
Wanita hebat ini menjadi tumpuan di sebuah laman sosial perkongsian video mengenai kecekalannya untuk bangkit semula selepas kemalangan besar yang dialami 21 Mac lalu.
Segalanya bermula apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki co-founder NM Aircond Electrical & Cleaning Services itu dirempuh lori 15 tan di Kilometer 193.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah, Selatan.
Susulan kemalangan, Mashy mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka pada kepala. Keretakan pada bahagian kiri kepalanya itu terpaksa ditutup menggunakan plat.
Manakala wajahnya tidak sekata yang mana sebelah kanan agak tenggelam susulan kecederaan pada bahagian mata. Secara keseluruhan sembilan plat ditanam pada wajah dan kepala.
Pahanya yang ‘patah tebu’ dan hingga kini masih dalam proses pemulihan. Mashy dijangka perlu mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan sebelum boleh berjalan semula.
;