Hiburan
“Sebagai Seorang Umat Islam, Saya Terkesan” - Shuib Ulas Isu Stoking Kalimah Allah
Sebagai seorang yang beragama Islam, pelawak, Shuib akui terkesan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Super Mart, yang tular baru-baru ini.
Menurut Shuib, kecuaian yang melibatkan isu sentimen dan sensitiviti tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana perniagaaan.
“Sebagai seorang umat Islam saya terkesan sebenarnya, tak sepatutnya berlaku dalam apa sahaja perniagaan atau pun situasi.
“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar. Kalau benar, saya tidak akan menyokong, saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” ujarnya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media bertempat di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Velley Megamall pada Rabu.
Malah Shuib dengan tegas berkata kalimah suci yang diletakkan pada stoking adalah satu penghinaan buat umat Islam dan dia sama sekali tidak akan memandang remeh tentang isu tersebut.
“Semasa isu itu meletus, saya marah sebab perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Benda yang terjadi itu sangat keji. Itu apa yang saya boleh cakap.
“Benda masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan jadi saya tidak boleh nak ulas lanjut kerana ini melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang.
“Saya akan berdiri sebagai seorang umat islam yang apabila benda itu tak betul, salah, melanggar peraturan, saya tidak akan sokong,” katanya yang juga merupakan duta kepada KK Mart.
Dalam pada itu, Shuib juga tidak teragak-agak melepaskan tanggungjawabnya sebagai duta sekiranya kedai serbaneka itu terbukti bersalah.
“Saya sentiasa percaya pada rezeki, kalau memang tiada rezeki saya maka tiadalah. Kalau ada rezeki saya, adalah.
“Tetapi macam mana pun saya tetap kena meletakkan bahawa saya adalah seorang Islam,” ujarnya.
BERITA TRENDING: Ini Yang Akan Berlaku Jika Persenda Kalimah Allah Di Dubai
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai runcit terbabit.
Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.