Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Sedang Mencari, Mahu Yang Memahami” - Adik-beradik Semua Dah Kahwin, MK Harap Doa Ibu Makbul

Mya Amri 16/03/2023 | 12:50 MYT
Anggota kumpulan K-Clique iaitu MK mengakui dirinya kini masih lagi dalam fasa mencari pasangan.

Menurut MK, walaupun hanya dirinya yang masih berstatus solo dalam keluarga namun perkara itu tidak membuatkan dia berasa tertekan.

“Saya tidaklah berasa tertekan. Memilih seseorang untuk menjadi pendamping hidup bukanlah sesuatu mudah kerana kita nak hidup bersamanya bukan setahun dua.

“Saya inginkan seorang wanita yang memahami diri saya dan membimbing saya dari sudut mental dan fizikal.

“Zaman sekarang sudah berbeza, percintaan pun menakutkan. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa status saya sekarang sedang mencari,” ujarnya.

Bagaimanapun kata MK, ibunya, Kamariah sentiasa mendoakan agar dirinya segera berumah tangga.

“Ibu memang mendoakan saya ke arah itu jadi perancangan memang sudah ada. Lagi-lagi bila melihat adik-beradik semua sudah melangkah ke alam rumah tangga.

“Sedikit sebanyak perasaan untuk kahwin juga semakin membuak-buak,” katanya.

Ditanya mengenai gerangan seorang wanita yang selalu dilihat bergandingan dengannya sebelum ini, MK tidak menafikan dan tidak pula mengiyakan.

Dalam perkembangan terbaharu, MK telah dilantik menjadi duta kempen bagi koleksi pakaian terbaharu Armaan.

Armaan muncul dengan beberapa koleksi seperti Baju Melayu Premium, Baju Melayu Exclusive, Kurta Moden, Kurta Klasik dan Baju Kanak-Kanak.

#Jodoh #K-Clique #MK K-Clique #MK
;