Laman Utama
Sedar Peminat Asyik Berperang Di Media Sosial, Ini Nasihat Aisha Retno & Elica Paujin
Sejak penyanyi Aisha Retno dan Elica Paujin berentap di pentas Big Stage 2022, ramai yang memuji bakat kedua bunga seni ini.
Masing-masing mempunyai kekuatan sendiri sehinggakan Aisha dan Elica merupakan antara dua peserta yang dipilih netizen dan peminat untuk menduduk kerusi juara pada pertandingan yang baru sahaja melabuhkan tirai beberapa minggu lalu.
Menerusi malam final, Elica berjaya meraih gelaran juara manakala Aisha pula selesa di tangga ketiga.
Namun, ada juga dalam kalangan peminat yang masih bertegang leher dan berdebat siapakah yang sepatutnya layak bergelar juara bagi Big Stage 2022. Sehinggakan, perdebatan mereka berubah menjadi pergaduhan.
Tuan empunya badan sebenarnya turut maklum mengenai situasi ini. Menurut Aisha dan Elica, mereka menghidu tentang sengketa para peminat sejak dari awal penyertaan mereka di Big Stage 2022.
“Dari awal dan perasan. Tetapi, kita ni siapa nak tegur kerana mereka ada hak masing-masing untuk bertanya pendapat. Tapi nasihat sata, kalau nak bagi pendapat, janganlah keterlaluan sehingga terkesan pada mental peserta,” ujar Aisha kepada Gempak.
Elica juga mempunyai pendapat yang sama dengan rakan seperjuangannya.
“Rasa sedikit kecewa bila ternampak fans kami bergaduh. Ibaratnya, mereka tidak memberi kepercayaan yang penuh kepada kita berdua. Macam Aisha kata, semua mempunyai pendapat masing-masing dan kalau boleh kurangkanlah budaya suka complain,” tambah Elica.
Dalam pada itu, Aisha memberi nasihat kepada peminat supaya berhenti ‘berperang’ di media sosial dan sentiasa memberi sokongan kepada rakan-rakan seperjuangan yang ingin membina karier sebagai penyanyi.
“Kita masih baru dan kalau boleh supportlah semua, tak kira yang baru release single atau yang baru nak mulakan karier,” ujar Aisha.
Bersetuju dengan Aisha, Elica berkata: “Saya sama macam Aisha, kerana tidak ada guna peminat bergaduh kerana kami bersama rakan-rakan Big Stage 2022 ok saja,” tutup Elica.