Laman Utama
Sedih Badan Makin Bongkok, Zamani Akan Jalani Pembedahan - “Saya Takut, Peluang Sembuh Sangat Kecil..”
Penyanyi terkenal Zamani mengakui terasa dan bersedih melihat keadaan fizikalnya yang semakin membongkok setelah disahkan menghidap penyakit scoliosis.
Menurut Zamani, baru dia menyedari keadaan badannya yang membongkok daripada video-video peminat yang tular di laman sosial.
“Saya tak marah bila orang kongsi video tersebut cuma agak terasa bila orang tunjuk keadaan kita. Tapi bila saya tengok balik video tu, barulah saya nampak keadaan sebenarnya saya dan nampak teruk daripada sisi tepi.
“Sebelum ni tengok cermin, nampak depan je tapi bila tengok keadaan sebenar dari tepi, saya sedih sebenarnya,” katanya lagi.
Menceritakan keadaan kesihatannya yang terkininya kepada Gempak, Zamani mengakui tulang belakangnya semakin teruk dan sakit jika ia terus dibiarkan.
“Sebenarnya keadaan kesihatan saya semakin teruk sebab saya dah tak boleh nak berdiri tegak. Sekarang saya kena buat pembedahan masukkan besi untuk menyokong tulang belakang.
“Saya agak risau sebab perut belah kanan ni makin lama makin takde daging. Dia dah kosong dan saya takut. Sekarang memang sangat sakit sebab dia dah cucuk rusuk.
“Saya nak jalan pun susah, nak bekerja. Buat masa sekarang saya makan ubat tahan sakit sebab belum ada ubat yang dikhaskan untuk scoliosis.”
Oleh sebab itu, vokalis kumpulan Slam yang berusia 51 tahun itu akan menjalani pembedahan bagi mengubati penyakit Scoliosis yang dihidapinya.
Malah, Zamani meluahkan dia berasa risau dan takut untuk melakukan pembedahan tersebut kerana peluang untuk sembuh adalah sangat kecil.
“Peluang untuk sembuh tu sangat kecil sebab takut hasilnya makin teruk, saya kena duduk atas kerusi roda.
“Tapi saya tiada pilihan lain dah, saya ingat bila guna cara perubatan tradisional boleh sembuh tapi sekarang tiada perubahan dan makin teruk,” ujar Zamani kepada ditemui.
Zamani ditemui pada program MeleTOP yang bersiaran secara langsung di Astro, Bukit Jalil malam tadi.
Mula menyedari penyakit tersebut pada tahun 2015, Zamani memaklumkan scoliosis yang berada dalam badannya itu rupanya sudah berusia 20 tahun.
“Kini saya dan doktor masih di peringkat perbincangan kerana pembedahan ni melihatkan banyak pihak seperti isteri saya, keluarga dan juga peminat.
“Saya pun takut sebenarnya, saya sedang fight dengan karier saya dan saya perlukan banyak sokongan daripada orang disekeliling untuk beri saya semangat. Ini pun antara hidup dan mati,” jelasnya.
Dalam pada itu juga, Zamani memaklumkan dia mempunyai wang simpanan untuk membiayai kos pembedahan.
Namun jika kos pembedahan yang diperlukan melebihi simpanannya, Zamani bersedia untuk melakukan konsert bagi mengutip dana.
“Dari segi kewangan, simpanan saya ada sikit dan andai kata tak mencukupi, saya dan pihak pengurusan ada bercadang untuk buat konsert atau showcase untuk dapatkan dana.
“Buat masa sekarang saya ada komitmen beberapa persembahan tapi keadaan saya memang peminat dah tahu dan saya akan cuba buat yang terbaik,” tambahnya.
Sangat mengharapkan doa dan sokongan daripada orang di sekeliling, Zamani mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas kata-kata positif yang diterima.
“Saya nak berterima kasih pada semua peminat yang mendoakan kesihatan saya. Apa pun yang terjadi lepas pembedahan nanti, saya harap orang boleh terima dan doakan saya.
“Isteri banyak jaga saya, saya bersyukur pada Allah dikurniakan isteri yang baik. Daripada masa saya sihat dan sampai sekarang, dia tak henti menjaga saya dengan elok, dia faham saya dan saya takut bila jadi apa-apa nanti, saya dah sediakan segalanya untuk dia,” ujarnya di akhir perbualan.