Laman Utama
“Sedih Dan Kecewa. Kenapa Sampai Macam Ni Rakyat Nak Kena Rebut Vaksin?”- Daiyan Trisha
Fiza Kamarudin
27/05/2021
|
02:45 MYT
Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan sistem laman sesawang berfungsi dengan baik ketika membuat tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua semalam (Rabu).
Daiyan menerusi laman sosial Twitternya mempersoalkan mengapa rakyat perlu melalui fasa yang sukar untuk mendaftar tempahan.
“Sedih dan kecewa. Kenapa sampai macam ni rakyat nak kena berebut vaksin? Bermacam-macam jenis penindasan nak kena hadap. Lepas satu, tambah lagi satu. Sampai bila, sejauh mana? Speechless. I cannot brain this anymore,” tulisnya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum itu, Daiyan telah membuat beberapa ciapan mengenai masalah dihadapi ketika proses tempahan.
“Kebanyakan masih tak boleh pilih negeri, website stuck, kena block... please @JKJAVMY we need a better system! So many people are counting on this,” katanya.
Tidak berputus asa, Daiyan tetap memberikan kata-kata semangat buat pengikutnya di Twitter agar terus berusaha untuk mendapatkan slot.
“Steady guys, semangat ya. Keep refreshing, bagi system stable dulu. Yang penting kita dapatkan slot. Slowly but surely. @JKJAVMY jangan sia-siakan semangat rakyat, kita masih bersabar lagi ni, please improve Folded hands,” ciapnya.
Selain itu Daiyan turut mengulang kicau bebenang ditulis pembaca berita Awani, Rizal Zulkapli yang mahu sistem sedia ada ditambah baik.
Rizal berpendapat jika sistem tidak ditambah baik mungkin akan menyebabkan ramai yang menangguh untuk mendaftar vaksin atau enggan melakukannya lagi.
“I sedih. Lebih sedih dari marah. Proses ini patutnya ditambah baik dari sesi pertama dulu. Kita tak patut buat rakyat berlumba macam org tak betul, stress dan tertekan. Ini masa mencabar. Permudahkan. Dengan dana yang ada, buat sistem yang lebih baik. Sangat sedih.
“Selagi kita tak mudahkan proses ini. Maka ramailah yg akan tangguh daftar untuk vaksin atau malas daftar. Tolong mudahkan proses ini.
“Tambahlah kemampuan website ke ape ke untuk tampung jumlah pengunjung ramai. Tolong. Ini antara hidup dan mati,” luah Rizal.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Semalam beberapa masalah teknikal seperti gagal memilih negeri, pusat pemberian vaksin (PPV) dan tarikh temu janji berlaku sehingga menyebabkan ramai yang kecewa dengan laman sesawang Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).
Sehubungan itu CITF menjalankan siasatan bagi mencari punca gangguan teknikal yang menyebabkan laman web tergendala.
CITF turut menegaskan tindakan akan diambil kepada pihak yang terbabit demi kepentingan awam dan negara.
Daiyan, antara artis muda yang banyak memberikan sokongan dan galakan kepada generasi baru untuk melakukan suntikan vaksin demi membendung pandemik Covid-19.
Malah, sehari sebelum tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua dibuka Daiyan telah memuat naik hantaran di Instagram menggalakkan para pengikutnya untuk membuat pendaftaran.