Berita
Sedih Lihat Keadaan Hail Amir, Farouk Hussain Mohon Doa Peminat
Pengacara dan pelakon, Farouk Hussain, mengajak peminat dan rakan artis mendoakan kesejahteraan dan kesihatan penyanyi popular era 1970-an, Hail Amir yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.
Hail Amir dimasukkan ke sebuah hospital pada 4 Mac lalu selepas mengadu sakit dada pada jam 10 malam. Selepas dua hari, beliau dipindahkan pula ke IJN atas permintaan keluarga.
“Saya difahamkan, doktor menemui tiga sekatan dalam saluran jantungnya.
“Namun selepas seminggu dalam pemantauan, doktor dijangka membuat keputusan hari ini untuk membenarkannya pulang untuk berehat terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya lagi, kebenaran untuk pulang ke rumah itu barangkali untuk membolehkannya mendapatkan rehat yang cukup bersama keluarga supaya bertambah stabil, sementara menunggu tarikh pemeriksaan doktor seterusnya.
“Selepas diperiksa nanti, barulah pihak hospital akan membuat keputusan sama ada pembedahan untuk membuka sekatan dalam salur jantung itu perlu dilaksanakan,” jelas Farouk.
Ketika mengadu sakit dada pada jam 10 malam 4 Mac lalu, penyanyi yang popular dengan lagu malar segar Wajah Kesayangan Hamba itu, digegaskan ke sebuah hospital sebelum kemudiannya dipindahkan ke IJN atas permintaan keluarga.
Ketika ditanya tentang keadaan Hail sewaktu di wad tersebut, Farouk memberitahu penyanyi tersebut masih mampu memberi maklum balas baik apabila disapa, namun terlihat juga beliau sedikit letih dan perlahan apabila bersuara.
“Sedih juga tengok keadaannya, tapi kita perlu ambil tahu dan mendoakannya. Dia memang penyanyi veteran dalam industri.
“Mungkin dengan menziarahinya, dia akan rasa lebih gembira dan menjadi motivasi untuknya kembali sihat,” katanya yang mengharapkan para peminat dan rakan industri dapat sama-sama mendoakan keadaan Hail bertambah baik.
Setakat ini, beberapa rakan artis seangkatan dengan Hail sudah menziarahi penyanyi tersebut, antaranya Siti Fairuz dan juga rakan duetnya, Uji Rashid.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, anak sulung penyanyi veteran itu, Chinta Fifi berkata, bapanya telah menjalani pemantauan rapi doktor dan sudahpun menjalani ujian darah dan imbasan sinar-X.
Sumber: Astro Awani