Laman Utama
Sedih Tengok Nasib Kru Produksi, Kuna Bantu Beli Barang Dapur - "Saya Kutip Duit Setiap Bulan Bersama Rakan-Rakan Artis .."
Pelakon senior Kuna Muzani, 50, meluahkan rasa sedih melihat kehidupan rakan-rakan sekerja di belakang tabir yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
Menurut Kuna atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani berkata ada segelintir yang tidak mampu untuk membeli susu anak memandangkan gaji mereka bukan dibayar secara bulanan.
"Alhamdulillah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya ada berniaga karipap pusing, syukur laris dan dapat sambutan menggalakkan.
"Cumanya saya lebih kasihan dengan rakan-rakan kru produksi, mereka yang bekerja di belakang tabir ini.
"Pendapatan mereka berapa sahajalah, sampaikan ada yang tak mampu untuk beli susu, ada pulak yang tak boleh bayar sewa rumah sampai dihalau keluar," katanya kepada Gempak.
Kuna ditemui ketika majlis pelancaran koleksi busana raya, 9 Generasi rekaan pereka fesyen Azirun Ramly yang diadakan di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain Kuna, jenama 9 Generasi turut menampilkan tiga lagi selebriti tempatan dalam kolaborasi edisi kali ini iaitu Hafreez Adam, Ayu Damit dan Rykarl Iskandar.
Ekoran sedih melihat nasib kru produksi, pelakon drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe nekad untuk membantu bersama rakan-rakan artis yang lain.
Katanya, mereka akan mengumpul duit setiap bulan untuk membeli barang dapur lalu diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
"Siapa lagi hendak bantu rakan-rakan kita kalau bukan diri kita sendiri? Jadinya, saya kutip duit setiap bulan bersama rakan-rakan artis untuk beli barang dapur dan kemudian diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
"Dalam masa sama, kami sedekah untuk rumah anak yatim dan ibu tunggal, serta pelajar di Universiti Islam Antarabangsa.
"Sedih saya.. yang mana kami boleh bantu memang kami akan cuba usahakan juga sebaik mungkin untuk golongan-golongan yang terkesan ini," katanya lagi.