Laman Utama
Segar & Ada Elemen Hiburan! Ini Hal Yang Menarik Tentang Sooka Super Series Volleyball
Aplikasi penstriman popular, sooka dengan kerjasama Astro Arena dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) buat julung kalinya membawakan kepada penonton, Super Series Volleyball (SSSVB 2022) yang sudah membuka gelanggang di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor bermula 14 Oktober hingga 6 November ini.
Tampil dengan format perlawanan kumpulan, saingan SSSVB 2022 selama empat minggu bakal menyaksikan lapan pasukan berentap merebut kejuaraan edisi pertama.
Lapan kumpulan tersebut terdiri daripads SAC Selangor Lions, Melaka Mousedeer, Kuala Lumpur Shark, Sarawak Hornbill, ATM Gladiators, Sabah Rhino, Johor Tiger dan pasukan jemputan antarabangsa iaitu, Amelia Indonesia.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, beliau menyambut baik hasrat persatuan-persatuan sukan untuk mengadakan liga kompetitif seperti Netball Super League (NSL) dan Sepak Takraw League (STL) anjuran Astro sebelum ini, yang telah berjaya memberi nafas baru dalam arena sukan negara.
“Sukan bola tampar adalah salah satu sukan yang mempunyai peminat tempatan yang tersendiri terutamanya daripada golongan millennial. Kami mengalu-alukan inisiatif sooka, Astro Arena, dan MAVA untuk memperkasakan penglibatan dan penyertaan bakat-bakat muda untuk digilap dan diberi pendedahan dalam liga berkualiti seperti ini.
“Kehadiran aplikasi penstriman hiburan dan sukan tempatan, sooka yang membawakan elemen hiburan di dalam saingan SSSVB 2022 adalah satu pendekatan yang unik di dalam industri sukan, dan dilihat tepat untuk menarik penonton millennial masa kini yang terbiasa menonton kandungan secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden MAVA, Hean Boon Yeow menyifatkan SSSVB 2022 adalah titik mula dan platform terbaik untuk melihat sukan ini berkembang maju dan mempunyai daya saing tinggi di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, kehadiran pasukan antarabangsa, Amelia Indonesia pasti akan memberi cabaran dan tentangan sengit buat pasukan tempatan.
"Setiap pasukan mempunyai strategi permainan yang tersendiri yang mana terdapat juga pasukan yang akan mengunakan khidmat pemain import termasuk dari Amerika Syarikat, Thailand, India dan Sri Lanka yang pasti akan menghangatkan lagi pertarungan.
“Penglibatan pemain kebangsaan serta pemain muda yang bertenaga juga pasti akan memberi impak kepada setiap pasukan nanti,” katanya.
Ketua Perancangan sooka, Emarina Kamal berkata, SSSVB 2022 adalah permulaan siri ‘sooka Super Series’ yang mereka cipta untuk menjadi platform berterusan bagi pemain sukan tempatan mempamerkan bakat, seterusnya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kami melihat sukan bola tampar amat berpotensi untuk diketengahkan, dan sooka akan membawakan penganjuran liga ini dengan cara tersendiri yang lebih unik, segar dan penuh elemen hiburan.
"Kelainan ini disajikan agar dapat menarik lebih ramai peminat sukan untuk menyaksikan SSSVB 2022 secara LIVE dan mudah dari aplikasi sooka di telefon mudah alih atau Smart TV sekaligus menarik generasi muda juga menceburi sukan ini," katanya.
Peminat boleh membeli tiket di www.tickethotline.com.my bermula pada 12 Oktober 2022 untuk hadir ke gelanggang menyaksikan SSSVB 2022.
Kredit foto: Stadium Astro