Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Sehari Bernikah, Pengantin Baharu Maut Kemalangan - "Mereka Dalam Perjalanan Selepas Ambil ..."

Gempak 20/12/2023 | 01:54 MYT
Seorang lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam dari arah Kuala Selangor menghala Tanjong Karang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Ahad, mangsa, Norsyam Nassullah Rahim, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Aini Hayati Mohd Radzi, 22, mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri.
Muhammad Aiman menunjukkan majlis akad nikah Aini Hayati dan Norsyam Nassullah di Dewan Seri Bernam pada Sabtu.
Muhammad Aiman menunjukkan majlis akad nikah Aini Hayati dan Norsyam Nassullah di Dewan Seri Bernam pada Sabtu.
Abang sulung Aini Hayati, Muhammad Aiman, 25, berkata, pasangan suami isteri itu bernikah dan melangsungkan persandingan di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.
"Saya seakan tidak percaya kejadian ini menimpa mereka, lebih-lebih lagi baru sehari mereka disatukan sebagai suami isteri," katanya ketika ditemui di rumah kediaman keluarga di Kampung Tersusun, Bagan Sungai Burong pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhammad Aiman memberitahu, Aini Hayati dan Allahyarham suaminya itu sudah membuat persiapan perkahwinan mereka sejak Khamis lalu.
Katanya, adik perempuannya itu kelihatan berseri-seri dan ceria sebelum majlis pernikahan tersebut.
"Saya tidak nampak pula ada apa-apa perubahan kepada mereka, malah mereka membuat persiapan rapi supaya majlis berjalan lancar," jelasnya.
Muhammad Aiman memberitahu, sebelum kejadian itu, Aini Hayati dan Allahyarham suaminya sempat bersalaman dengan ahli keluarga sebelum bergerak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 1 petang.
Katanya, pasangan itu dipercayai ke Kuala Lumpur bagi urusan pemulangan baju pengantin yang dipakai semasa majlis akad nikah dan perkahwinan mereka pada Sabtu.
"Saya difahamkan, mereka yang dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga mengambil busana pengantin di tempat sama untuk majlis persandingan sebelah lelaki pada 31 Disember ini," katanya
Muhammad Aiman memberitahu, kejadian diketahui apabila menerima panggilan daripada rakan Aini Hayati kira-kira jam 10.35 malam semasa dia dan isteri serta seorang anak berusia dua tahun dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kajang.
Ahli keluarga bergambar bersama pasangan pengantin pada majlis persandingan di Dewan Seri Bernam pada Sabtu.
Ahli keluarga bergambar bersama pasangan pengantin pada majlis persandingan di Dewan Seri Bernam pada Sabtu.
"Semasa menerima panggilan itu, saya ingatkan mereka hanya alami kemalangan biasa, tetapi apabila gambar kereta terbalik tersebar di media sosial saya mula berasa tidak sedap hati.
"Saya yang ketika itu berada di Sungai Buloh kemudiannya berpatah balik dan sepanjang perjalanan kami sekeluarga tidak putus berdoa agar semuanya dipermudahkan," ujarnya.
Katanya, anak ketiga daripada lima beradik itu menetap di Petaling Jaya dan mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pembantu farmasi sebuah hospital swasta selepas berkahwin.
"Adik sepatunya ikut suaminya menetap di Bukit Mertajam, Pulang Pinang hari ini (Isnin), namun mereka pula terlibat dalam kemalangan," tambahnya.
Katanya, Aini Hayati kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh.
"Arwah adik ipar saya pula dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.05 malam.
"Setibanya di lokasi, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu Perodua Bezza, Honda City dan Nissan Almera.
"Selain itu, seorang lelaki iaitu orang awam yang membantu mangsa kemalangan turut cedera parah," tambah beliau.
Sumber: Sinar Harian
#Viral #Kemalangan #Meninggal Dunia #Pengantin #Sabak Bernam
;