Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Sekarang Sudah RM150 Juta, Jom Pecahkan Rekod Filem Tempatan Dengan RM200 Juta Kutipan

Mya Amri 03/12/2018 | 10:18 MYT
Siapa sangka dalam tempoh sehingga November 2018, kutipan filem-filem tempatan sudah mencecah sehingga RM150 juta.
Benar, memang agak sukar untuk menjangka selera penonton terhadap filem tempatan yang ditayangkan dipawagam.
Namun, dengan adanya sokongan tidak berbelah bahagi dan juga kepercayaan diberikan terhadap sesuatu naskah yang ditayangkan membuatkan filem tempatan masih mendapat tempat di hati peminat.
Buktinya, lihat sahaja kejayaan beberapa filem yang mendapat kutipan pecah panggung, antaranya Dukun, Munafik 2, Hantu Kak Limah dan PASKAL The Movie.
Munafik 2 mengutip sebanyak RM43 juta, Hantu Kak Limah meraih RM38 juta, PASKAL The Movie mengumpul RM30 Juta dan Dukun RM12 juta.
Ini membuktikan kualiti pembikinan dan pengarahan filem-filem tempatan semakin meningkat.
Malah amat membanggakan apabila karya Malaysia, tanpa mengira apa bahasa pun semakin mendapat tempat dan kepercayaan di hati penonton.
Sokongan ini pastinya membakar semangat pengarya kita untuk lebih berusaha memartabatkan industri sinema Malaysia untuk terus memberikan sesuatu yang luar biasa pada masa akan datang.
Terbaru, filem sekuel Polis Evo 2 yang ditayangkan pada penghujung November lalu juga turut menjadi fenomena.
Selepas 11 hari tayangan, Polis Evo 2 telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila meraih kutipan RM17 juta.
Nampaknya Polis Evo 2 juga mampu menyumbang angka yang lebih besar dan mungkinkah kita akan berjaya mencapai kutipan filem tempatan sehingga RM200 juta untuk menutup tahun 2018?
Syabas Malaysia untuk RM150 juta kutipan filem tempatan setakat ini.
#Filem Tempatan #Polis Evo 2 #Support Local
;