Viral
Sekinchan Port Lepak Baru Selebriti & Sosialis, Siap Boleh Makan Tepi Sawah Padi Lagi!
El fresco; konsep makan di ruang terbuka menjadi pilihan bagi pencinta alam semula jadi.
Di Sekinchan, Ninja Private Kitchen, restoran privasi yang menghidangkan hasil laut segar di tepi sawah semakin menjadi tumpuan ramai sejak sebulan lalu.
Dibangunkan oleh jurugambar antarabangsa Zung Heng yang 'terperangkap' di kampung halaman keluarganya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempat makan itu adalah pertaruhan yang memberikan imbuhan tinggi baginya.
Masakan tidak, saban waktu telefon pintarnya tidak putus-putus menerima pertanyaan dan tempahan dari pelanggan yang mahukan konsep bersantap cara berbeza.
Justeru itu, Zung memaklumkan kepada Gempak bahawa dia dan kumpulan kecilnya kini tidak menang tangan!
"Kita ada 300 pertanyaan belum berjawab," luncur katanya di hujung talian.
Ninja Private Kitchen menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjungnya.
Makan dengan berlatar belakangkan sawah padi yang sedang menguning, kanvas alami itu menjadi visual terindah untuk menghiasi ruang media sosial Instagram masing-masing.
Tambah pula, selebriti dan sosialis semakin ramai memilih lokasi ini untuk tujuan eskapisme.
Selepas Marion Counter, SM Nasarudin SM Nasimuddin, Nina Ismail Sabri dan Serena C, keluarga Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dilihat berkesempatan meraikan Hari Bapa di lokasi terbabit.
Tokoh ekonomi yang disegani rakyat, YAD Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dan puteri-puteri beliau pun turut meluangkan masa di Sekinchan baru-baru ini.
Malah, lokasi strategik itu pernah dikunjungi oleh selebriti terkenal Hong Kong, Andy Lau!
Terbukti panorama sawah padi di Sekinchan menggamit perhatian ramai daripada segenap latar belakang dan darjat.
Sekinchan memaju industri eco-pelancongan dan membuka ruang baharu untuk perkembangan positif ekonomi negara.
Menerusi temubual bersama Awani sebelum ini pun, Zung akui semakin ramai yang cenderung dan berminat untuk menceburi bisnes seumpamanya.
Jadi, jomlah ke Sekinchan!
Foto: Ninja Private Kitchen, Joey Azman, Marion Counter, Tatler