Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Selalu Nyanyi Nada Tinggi, Azlan The Typewriter Risau Tak Boleh Capai Standard Sama Bila Dah Tua Nanti

Izwan Isa 22/04/2022 | 07:50 MYT

Sejak kemunculannya, Azlan The Typewriter cukup dikenali sebagai seorang pelantun suara yang menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.

Namun, menurut penghibur berusia 40 tahun itu, dia mengakui risau jika apabila sudah meningkat usia, dia tidak mampu mencapai nada tinggi dalam lagu-lagunya seperti sekarang.
“Setiap hari saya memang ada menyanyi dan berlatih agar keupayaan nyanyian saya sentiasa seimbang. Tetapi saya pun risau juga, kalau suatu hari nanti saya tidak mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi.
“Kalau memang tak boleh bawa lagu tinggi, mungkin kita kena fikir plan B iaitu turunkan key atau saya hanya bergelar komposer sahaja, atau penerbit filem,” katanya kepada Gempak.
Mengakui aneh jika menyanyikan lagu tanpa ‘jeritan’, Azlan memberitahu yang prestasi seseorang penyanyi itu tidak hanya bergantung pada nada tinggi semata-mata.
“Nada tinggi ke, rendah atau sederhana, tidak menjamin bahawa seseorang penyanyi itu bagus. Apa yang penting adalah kawalan pitching dan tempo.
“Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menyanyi tak jerit pun tapi sedap. Beliau merupakan contoh pemilik range sederhana yang sedap didengar,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azlan turut memberitahu yang dia tidak meletakkan sebarang target untuk masa depan kerjayanya sebagai anak seni.
“Muzik sentiasa berevolusi. Hari ni orang suka muzik macam ini tapi belum tentu muzik yang sama orang akan suka pada masa akan datang. Hal ini berlaku kerana masa beredar dengan begitu pantas.
“Sebagai seorang penerbit dan komposer, saya perlu hati-hati dan fokus terhadap perubahan. Saya tidak ada sebarang target dan hanya berserah pada rezeki Allah SWT,” katanya.

A post shared by azlanTypewriter (@azlantypewriters)

Azlan yang ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music baru-baru ini menerima plak pengiktirafan mencapai satu platinum untuk lagu Jangan Khianati Aku.
Lagu terbabit berjaya meraih pendapatan lebih RM300,000 hasil keuntungan daripada pelbagai platform muzik.

#Suara #Jerit #Azlan And The Typewriter
;