Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Selalu Sakit Belakang, Jadi Sarang Pepijat… Ini Antara Akibat Kalau Guna Tilam Yang Sama Bertahun-Tahun

Izwan Isa 22/07/2023 | 07:50 MYT
Bilik tidur merupakan tempat di mana kita merebahkan diri untuk tidur dan berehat. Bilik tidur juga merupakan lokasi yang tepat untuk bertenang dan mengembalikan semula tenaga selepas seharian penat bekerja.
Namun, pernahkah anda bangun daripada tidur dan mengalami sakit belakang? Atau anda dapati terdapat kesan-kesan merah pada badan akibat gigitan?
Hal ini mungkin disebabkan oleh tilam anda telah terlalu digunakan. Berikut merupakan beberapa masalah kesihatan yang mungkin anda hadapi jika anda menggunakan tilam yang sama untuk tempoh yang lama.
1. Sakit Badan
Keadaan tilam dan bantal yang tidak sempurna boleh menyebabkan tubuh badan menjadi kerap sakit, contohnya sengal tengkuk, belikat dan pinggang. Hal ini disebabkan tilam tidak lagi memberi sokongan yang sesuai untuk tubuh kita.
2. Alahan
Tilam boleh bertukar menjadi tempat allergen berkumpul. Contohnya, debu, habuk dan bahan kimia. Allergen ini boleh menyebabkan seseorang itu kerap mengalami gegata, mata berair, selsema, bersin dan asma, terutamanya semasa tidur.
3. Kutu dan hama
Infestasi kutu, pepijat, tungau dan hama boleh menyebabkan masalah kulit seperti kegatalan, ruam, dan kudis. Serangga-serangga ini boleh berpindah dari satu individu ke individu yang berkongsi tempat tidur.
4. Bakteria dan kulat
Bakteria dan kulat pada tilam boleh menjangkiti tubuh manusia dan menyebabkan masalah pada kulit, pernafasan, rambut dan kuku. Selain itu, spora kulat juga boleh menyebabkan keracunan.

Apa yang boleh dilakukan untuk memastikan tempat tidur berada dalam keadaan baik?

1. Tukar cadar setiap minggu
Cadar merupakan permukaan yang bersentuh secara langsung dengan tubuh kita, maka ia menyerap peluh, hingus, air liur dan lendiran tubuh. Jadi, cadar dan sarung bantal perlu ditukar sekurang-kurangnya seminggu sekali.
2. Gunakan cadar anti-alahan
Ada cadar yang menggunakan material yang tenunannya lebih rapat. Ini dapat mengurangkan penembusan allergen dari permukaan tilam atau naik ke permukaan cadar. Ia lazimnya dilabel cadar ‘hypoallergenic’ atau ‘anti-dust.
3. Pusingkan tilam setiap 3 bulan
Pusingkan dan terbalikkan tilam supaya penggunaan permukaannya sekata. Ia boleh memanjangkan hayat tilam. Bagaimanapun, tilam yang atas berbeza material antara permukaan atas dan bawah, tidak perlu diterbalikkan.
4. Bersihkan tilam setiap 3 bulan
Setiap kali anda pusingkan tilam, bersihkan juga tilam. Boleh dijemur, divakum, cucian kering, atau sebarang kaedah yang bersesuaian dengan jenis tilam. Hal ini bertujuan membasmi kotoran, perosak dan kuman.

Apakah tanda-tanda dah perlu fikir untuk tukar kepada tilam baharu?

1. Tilam sudah berubah bentuk
Jika permukaan tilam sudah tenggelam, berbonggol-bongol atau senget sebelah, ia merupakan petanda tilam sudah tak mampu beri sokongan yang baik pada tubuh. Selain itu, jika tilam telah jadi terlalu keras atau lembut, maka perlu tukar.
2. Tilam berlubang atau reput
Tilam dibaluti kain pelindung. Fungsinya agar sesuatu yang tidak diingini masuk atau keluar daripada dalaman tilam. Haiwan perosak seperti lipas, kumbang, tikus, dan ular boleh bersarang dalam tilam yang dah koyak.
3. Berbau kurang senang
Jika tilam tetap mempunyai bau yang kurang menyenangkan walaupun sudah cuba dibersihkan beberapa kali, maka sudah tiba masa ia digantikan. Bauan dan wasap ini mungkin boleh membahayakan kesihatan.
4. Digunakan lebih satu dekad
Jangka hayat tilam sebenarnya bergantung kepada material, binaan dan penjagaan tilam berkenaan. Namun, secara umum, kualiti tilam akan merosot ke tahap genting setelah sekitar 10-15 tahun ia digunakan setiap hari.
Sumber: Facebook Doktor Kamarul Ariffin
BACA: “Tilam Ratusan Ringgit, Buaian Berirama Ada Tapi Tak Nak Duduk Lama” – Yana Samsudin Kongsi Ragam Comel Anak Kedua
BACA: Lupakan Hasrat Nak Letak Tilam Di Kereta, Ia Sebenarnya Menyalahi Undang-Undang!​
#Tilam #Tukar Tilam
;