Selamat Kembali Ke Tanah Air, Nurul Ain Kongsi Keadaan Di Gaza Ketika Ini – “Rumah Dibom Lapan Peluru Berpandu”
Seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, dan suaminya Mohamed Adan Shaat, 33, telah selamat kembali ke tanah air setelah terkandas akibat perang antara rejim Zionis dan Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Menurut sumber, pasangan tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.55 malam di Terminal 1 menerusi pesawat QR4993, Qatar Airways yang berlepas dari Doha, Qatar.
Sesampainya Nurul Ain dan suami di tanah air, pasangan itu disambut dengan pelukan dan tangisan kegembiraan ahli keluarga yang melepaskan rindu setelah hampir setahun tidak berjumpa.
"Dekat sana bukan mudah kerana tiada stok makanan, selimut dengan barangan keperluan lain. Lebih baik kami keluar dari Gaza dan ambil langkah lain untuk salurkan bantuan di sana.
"Malah dekat sana, ada dalam kalangan ahli keluarga yang syahid. Rumah dia dibom bukan satu tapi lapan peluru berpandu sehinggakan muka pun hancur tak nampak,” katanya.
Untuk info, suami kepada Nurul Ain, Mohamed Adan merupakan warganegara Palestin. Nurul Ain mengikut suaminya pulang ke kampung halaman pada 1 Oktober lalu buat pertama kali selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, pasangan itu terkandas akibat perang namun berjaya dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) Ahad.
Sumber: Sinar Harian/ERA