Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Nusantara

Selepas 15 Tahun, Hanya Memuji Masih Lagu Berhantu Marcell

Amri Hassan 08/09/2017 | 04:17 MYT
Selepas 15 tahun, lagu Hanya Memuji nyanyian Marcell dan Shanty masih menjadi dendangan hingga kini.
Kata Marcell, kolaborasi yang tidak dijangka ketika itu secara tidak langsung telah membuka ruang baharu dalam kariernya untuk bertapak di Malaysia.
"Pertama kali saya membuat persembahan di Malaysia ketika Anugerah Planet Muzik pada tahun 2003 menyanyikan lagu Hanya Memuji bersama Shanty.
"Selepas persembahan itu, hidup saya berubah dan saya menjadi individu berbeza. Saya juga mulai mengumpul peminat di negara jiran saya iaitu Malaysia dan Singapura.
"Malah, lagu itu juga ibaratnya berhantu kerana sehingga kini ia masih bisa dinyanyikan oleh generasi muda yang adakalanya memanggil saya dengan gelaran Om (Pak Cik).
"Saya benar-benar berterima kasih kepada ibu dan bapa anak-anak muda ini yang memperdengarkan lagu saya kepada anak-anaknya sehingga menjadi ingatan," katanya pada majlis sidang media Konsert Marcell Once In A Lifetime di Publika semalam.
Marcell yang menyambut ulangtahun kelahirannya ke-40 tahun ini bakal mengadakan konsert khas buat peminatnya di Malaysia pada 23 September depan.
Berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, jelas Marcell konsert itu bakal disuntik pelbagai kejutan yang dirahsiakan hingga kini.
Mungkin peminat bakal menyaksikan semula kolaborasi lagu Hanya Memuji dengan penyanyi asalnya, Marcell dan Shanty?
Tiket konsert Marcell Once In A Lifetime dijual dengan harga serendah RM99 hingga RM2,099 masih boleh dibeli di www.goersapp.com, airasiaredtix.com, kiostix.com dan tiket.com.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @marcellsiahaans, Daman
#Hanya Memuji #Marcell #Shanty
;