Hiburan
Selepas Dua Hari Padam Video Di Youtube, Sugu Pavithra Bakal Muncul Semula Petang Ini
Suami kepada S. Pavithra, M.Sugu memberitahu video baru akan dimuat naik di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ selewat-lewatnya petang ini.
Sugu turut mengakui memadam 98 video di saluran berkenaan yang dimuat naik sejak Januari lalu atas beberapa faktor peribadi.
"Saya sendiri yang padam semua video itu selepas apa yang terjadi (didakwa di mahkamah)," katanya ketika dihubungi di Bernama.
Sugu yang juga bekas pekerja sebuah syarikat perladangan swasta di Sungai Siput, turut mengakui hilang pendapatan daripada YouTube yang dianggap lumayan, susulan tindakan memadam semua video.
"Tapi tidak mengapa, kerana saya ada tangan, kaki cukup boleh cari kerja. Sebelum (menjadi YouTuber) ini pun punca pendapatan dengan bekerja," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengikut setia saluran itu yang kini berjumlah 787,000 orang.
Pada 24 Julai, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit pada Selasa lalu.
Namun Pavithra mengakui sudah memaafkan perbuatan suaminya itu.
Selain itu, Pavithra ketika ditemui di mahkamah juga, berkata mereka enggan menerima sebarang pengiktirafan atau penganugerahan ikon, sebaliknya mahu menumpu kepada penghasilan video masakan menerusi saluran Youtube seperti biasa.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan Sugu yang dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga di luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun, pada Selasa lalu.
Kejadian itu berpunca akibat salah faham antara suspek dengan isterinya berkaitan satu majlis yang berlangsung sehari sebelum itu.
Sumber: BERNAMA