"Selepas Hujan Ada Pelangi" - Pasangan Pengantin Selamba Randuk Banjir, Tetap Naik Pelamin!
Bencana banjir tentunya memberi kesan kepada perancangan aktiviti harian mereka yang terkesan.
Begitu juga kepada pasangan pengantin yang tular di TikTok sejak semalam apabila meneruskan hajat bergaya dengan baju pengantin meskipun terpaksa meranduk banjir.
Berdasarkan perkongsian pengguna TikTok bernama Syikin Asri, rakannya Sofiyah Nabilah yang melangsungkan pernikahan semalam dilihat gembira bersama pilihan hatinya duduk di atas pelamin dan makan berdua.
Seperti yang dapat dilihat dalam video tersebut, kawasan pelamin dan tempat makan pengantin tersebut dinaiki lebih kurang paras lutut golongan dewasa.
Pada masa sama, jelas kelihatan hanya pasangan mempelai itu sahaja (bersama yang merakam) berada di situ tanpa kehadiran tetamu.
Ruangan komen pula dipenuhi pelbagai reaksi netizen, apa yang penting, masih ramai yang mengucapkan selamat pengantin baru.
Dalam pada itu, ada juga yang berharap agar datangnya rezeki yang lebih baik kepada pasangan itu selepas dugaan yang menimpa.
"Rezeki besar nak datang tu, Insya-Allah Allah akan mudahkan semuanya, orang kata selepas hujan ada pelangi," tulis netizen.
"Dalam kedukaan ada keceriaan," tulis netizen lain.
"Steady pengantin terbaik," tulis pengguna TikTok yang lain.
"Kalau dah jadi ex tu please la doa yang baik baik, takut termakbul," seloroh seorang lagi netizen.
Difahamkan, setakat artikel ini ditulis, pihak pengantin masih belum sempat memberi respon kepada orang ramai di media sosial kerana masih sibuk menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi.