Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Selepas Langkawi, Kepulauan Mersing Bakal Terima Pengunjung

Gempak 12/09/2021 | 22:15 MYT
Selepas Langkawi bakal dibuka kepada pengunjung bermula 16 September ini, kepulauan Mersing pula dijangka akan mengikut jejak yang sama.
Semua pemain industri pelancongan dan penduduk kepulauan Mersing yang telah mencapai 100 peratus vaksinasi COVID-19, kini bersedia menerima kehadiran pengunjung sekiranya destinasi itu dibuka di bawah program gelembung pelancongan.
Ramai pemain industri pelancongan melahirkan rasa teruja dan tidak sabar menanti kedatangan semula pengunjung, dengan pelbagai persediaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengusaha Mentigi Bay Chalet Hamka Shahar, 39, berkata beliau menyambut baik hasrat kerajaan Johor yang berhasrat menjadikan kepulauan Mersing destinasi di bawah program gelembung pelancongan, seiring dengan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Setakat ini, kita memang menerima banyak pertanyaan daripada pengunjung, namun masih belum membuka untuk tempahan kerana menunggu 'lampu hijau' daripada kerajaan.
"Lagipun, kesemua 10 pekerja di chalet ini telah lengkap vaksinasi dan kita sentiasa amalkan SOP serta melakukan kerja-kerja sanitasi bagi mencegah penularan COVID-19," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Pada 7 September lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai 'Maldives of Malaysia', telah mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja resort.
Susulan itu, Johor memohon kerajaan pusat menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbangan agar lokasi itu dapat dijadikan destinasi di bawah program gelembung pelancongan, sekali gus memberi sinar baharu kepada pemain industri pelancongan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin berkata kepulauan Mersing wajar dibuka kepada pelancong tempatan seperti Pulau Langkawi, kerana inisiatif itu bakal merancakkan kembali aktiviti pelancongan dan ekonomi domestik.
"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Mersing bulan lepas, kita telah bersetuju untuk memohon kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan kepulauan Mersing dibuka kepada pengunjung," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh K. Raven Kumar berkata beliau bersetuju sekiranya kepulauan Mersing dibuka segera sebelum tiba Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh, bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Kita yakin penduduk dan pekerja resort di kepulauan ini sudah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung dan pada masa sama berharap agar kerajaan dapat memberi 'time alert', sebagai persediaan daripada segi kemudahan makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata sekiranya pergerakan rentas negeri masih tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya rakyat Johor dapat mengubati kerinduan mereka untuk 'bau pulau', apabila negeri ini memasuki Fasa 2 PPN yang dijangka dalam waktu terdekat.
Untuk rekod, Mersing mempunyai lima kepulauan utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.
Sumber: Bernama
#Langkawi #Pulau #PKP #Rentas Negeri #Pengunjung #Mering #Pelancong
;