Berita

Selepas Tular Gambar Hadir Jamuan Makan, Exco Perak Mohon Maaf

Amri Hassan
19/04/2020
09:39 MYT
Sponsor Banner
Selepas Tular Gambar Hadir Jamuan Makan, Exco Perak Mohon Maaf
Exco Perak, Razman Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat selepas gambarnya tular di media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, petang Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil itu berkata, apa yang telah berlaku merupakan kekhilafannya.
Dalam masa sama, beliau berkata, pencerahan yang dibuat bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Untuk makluman saya setiap hari bergerak untuk membantu fronliners, Alhamdulillah dapat membantu serta merta sebarang kekurangan peralatan yang dihadapi frontliners terutama kepada petugas kesihatan.
"Setiap malam petugas kami menghantar makanan bermasak kepada petugas sekatan jalanraya disekitar Bagan Serai khususnya," katanya dalam laman Facebook pada Sabtu.
Dalam catatan itu, beliau turut memberi contoh, jika tidak turun padang mana mungkin dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalanraya amat mendesak.
"Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal standard prosedur operasi (SOP) dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP Insya-Allah kami akan atasi," kata beliau.
Sehubungan itu, Razman mengajak semua pihak bersama terus berdoa semoga ujian COVID-19 dapat meningkatkan iman dan bertambah sayang kita rakyat Malaysia dengan kerajaan Perikatan Nasional ini.
Pada Sabtu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil keterangan seorang Exco kerajaan negeri bersama beberapa individu selepas gambar mereka tular di media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.
Menurutnya, polis akan memanggil individu terlibat berdasarkan penelitian gambar yang tular, hari ini (Ahad).
Foto berkenaan menjadi bahan perdebatan dalam kalangan netizen kerana golongan kenamaan itu disifatkan mereka bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahkan tidak mengamalkan penjarakan sosial.
Tindakan itu dianggap tidak wajar ketika kerajaan mengarahkan seluruh rakyat Malaysia mematuhi arahan yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Sumber: Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar