Laman Utama
Semakin Parah! 1,000 Individu Positif Covid-19 Beratur Sepanjang 500 Meter Di Stadium Shah Alam
Koordinator mewakili Stadium Shah Alam mengesahkan video tular yang memaparkan kira-kira 1,000 individu yang disahkan positif beratur sepanjang 500 meter di fasiliti tersebut adalah benar.
Kesemua pesakit dilihat beratur di laluan pejalan kaki untuk memasuki Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, sejak pagi hingga petang (semalam).
Video berdurasi 52 saat tersebut mula tular sejak tengah hari Isnin, memaparkan sejumlah besar individu beratur panjang sehingga ke persimpangan sebuah pasar raya besar.
Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, pertambahan jumlah pesakit berlaku antara dua hingga tiga minggu kebelakangan ini.
"Ya, semua yang beratur (mereka yang disahkan) positif Covid-19 dan ini pertama kali mereka ke Stadium Malawati untuk tujuan penilaian (daripada pihak KKM) sebaik disahkan positif.
"Kehadiran pada hari ini saya jangkakan antara jumlah paling tinggi dalam operasi CAC sejak Februari lalu, tetapi jumlah tepat hanya pihak KKM boleh sahkan.
"Sebagai koordinator mewakili Stadium Shah Alam, saya hanya boleh mengesahkan video yang tular sejak pagi tadi adalah gambaran suasana berlaku mutakhir ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ahmad Sayuti berkata, mereka datang ke CAC berkenaan seawal jam 6.30 pagi.
"Sehingga 3 petang, mereka masih lagi beratur terutama yang datang menaiki bas dari kilang dan sebagainya.
"Apa yang dilihat dalam video, itu memang situasi sebenar di sini, jumlah warga asing yang datang memang mendadak dan kebanyakannya dari kilang.
"Semua yang datang adalah di bawah kawal selia Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling sahaja," katanya yang turut bertugas sebagai sukarelawan di lokasi berkenaan setiap hari.