Laman Utama

Semangat Ibu Sandra Semakin Kuat, Tak Lupa Buat Wakaf Untuk Arwah

Asraf Aided
21/01/2021
13:15 MYT
Sponsor Banner
Semangat Ibu Sandra Semakin Kuat, Tak Lupa Buat Wakaf Untuk Arwah
Ibu kepada penyanyi Allahyarham Sandra Dianne, Nor Syakinah mengatakan keadaan dirinya kini bertambah baik sejak pemergian anaknya itu pada 11 September tahun lalu.
Menurut Syakinah, semangatnya kembali pulih dengan berkat doa daripada ahli keluarga dan peminat Allahyarham.
"Alhamdulillah, semangat saya kembali pulih dan semakin kuat selepas empat bulan berlalu, ia adalah berkat doa daripada ahli keluarga dan peminat arwah.
"Dengan berkat doa semua, peminat arwah juga sentiasa bertanya khabar dan beri semangat di laman sosial, ujian ini menjadikan saya lebih dekat dan sentiasa ingat Allah SWT," katanya.
Syakinah yang menetap di Sabah itu juga tidak lupa akan bekalan Allahyarham di akhirat.
Justeru, dia ada menjual baju T dan buku nota di laman sosial dan hasil jualan tersebut dibuat sebagai wakaf.
"Saya ada buat beberapa perancangan untuk bekalan arwah di akhirat, apa yang telah saya lakukan setakat ini adalah menjual baju T dan buku nota arwah di laman sosial, hasil jualan itu dijadikan sebagai wakaf," katanya lagi.
Syakinah berkongsi perkara itu petang semalam, ketika sidang media virtual diadakan oleh Sony Music Malaysia sempena melancarkan muzik video rasmi bagi single terakhir Allahyarham yang berjudul Sandra.
Muzik video berkenaan telah dilancarkan secara rasmi pada pukul 4.00 petang semalam menerusi platform Vevo dan YouTube rasmi (Sandra Dianne Official) untuk tontonan umum.
Terdahulu, Sandra dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan daripada nahas jalan raya.
Allahyarham ketika itu sedang bertanding untuk program Big Stage musim ketiga.
Sandra sebelum ini pernah popular menerusi lagu Hey Kau, Terkemuka, Tulus dan Jelaskan.
Al-Fatihah buat Allahyarham Sandra Dianne, semoga rohnya dirahmati Allah SWT.
Kredit Foto Ibu Sandra : Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar