“Semoga Semua Dapat Sambut Ramadan & Tiada Insan Terpinggir” – Dafi, Siti Sarah & Haiza Agih Barang Keperluan Asas Kepada 400 Keluarga di Pontian
Artis naungan Indigital Music Siti Sarah, Dafi dan Haiza Hanafi beberapa hari lalu berganding bahu menghulurkan sumbangan kepada 400 keluarga di sekitar Pontian yang terjejas mencari sumber pendapatan sejak sebulan yang lalu akibat pandemik COVID-19.
Sumbangan berupa barangan keperluas asas itu turut diserahkan kepada petugas barisan hadapan termasuklah Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal kawasan tersebut.
Haiza bersyukur kerana dapat membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
“Ini adalah tanggungjawab sosial saya untuk membantu mereka yang memerlukan. Ada orang mencari pendapatan dengan bergaji harian. Jadi mereka mungkin mengalami kesukaran ketika ini.
“Saya ambil inisiatif untuk memberikan keperluan asas kepada mereka yang terkesan dan setidaknya boleh menyambut Ramadan dengan tenang,” katanya.
Sementara itu Siti Sarah pula berharap agar semua pihak dapat menghadapi saat getir ini dengan sabra dan reda.
“Ini mungkin fasa getir bukan sahaja buat kita di Malaysia tetapi juga di seluruh negara. Kalau orang senang pun merasa terkesan, apatah lagi orang biasa. Saya harap semua sabar dan reda menghadapinya.
“Harapnya lebih ramai yang prihatin dan bantu membantu antara satu sama lain. Inilah keindahan hidup bermasyarakat,” katanya ringkas.
Bagi Dafi, dia berterima kasih kepada pihak NGO tersebut yang sudi mewakili dirinya menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Mungkin sumbangan saya tidak sebesar mana tetapi jika itu mampu memberikan senyuman kepada mereka, saya amat berbesar hati.
“Semoga semua orang dapat menyambut Ramadan dengan tenang dan tiada ada insan yang terpinggir.
“Ini sahaja cara saya untuk membantu mereka yang sama-sama berkorban untuk negara bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.
Program CSR ini diwakili Norwati Manan yang juga merupakan Pengawai Perhubungan Awam Indigital Music yang kebetulan berada Pontian.
Indigital Music mendapat kerjasama daripada NGO Pertubuhan Kebajikan Aspirasi Peduli Rakyat Marhaen yang sama-sama turun padang membantu.
Antara bahan keperluan yang diagihkan termasuklah beras, minyak masak, tepung, gula dan beberapa barangan lain lagi.