Laman Utama

“Semoga Terus Menginspirasi Kita Semua” - Ini Tujuh Kebaikan Adibah Noor Dikongsi Datuk Fadzilah Kamsah

Mya Amri
22/06/2022
07:13 MYT
Sponsor Banner
“Semoga Terus Menginspirasi Kita Semua” - Ini Tujuh Kebaikan Adibah Noor Dikongsi Datuk Fadzilah Kamsah
Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkongsi mengenai kebaikan Allahyarham penyanyi, Adibah Noor semasa hayatnya.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau juga turut menyenaraikan tujuh kebaikan Adibah yang dikongsikan ramai pihak di media sosial.
“Semua info ini adalah melalui penelitian dan pembacaan di berita dan internet ya. Semoga kebaikan mengalir berterusan untuknya.
“Pertama, bersifat pemurah. Ramai rakan artis yang mengenali beliau, sentiasa sifatkan beliau ini selalu belanja makan, tak lokek dengan memberi dan bersedekah.
“Kedua, tiada jurang dengan peminatnya. Beliau ramah dan sering membalas komen atau tweet peminatnya dengan penuh kebaikan dan positiviti.
“Ketiga, sangat menjaga bahasa dan tutur kata. Beliau mahal dengan kata-kata aras tinggi dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu dan English yang ada sleng memukau.
“Keempat, berdiri atas bakat sendiri. Hidup beliau setiap adalah belajar dan memperbaiki bakat. Mengasah lebih baik dan sentiasa berniat untuk berikan yang terbaik pada audience.
“Kelima, menggunakan platform media sosial ke arah kebajikan. Beliau selalu retweet dengan cara membantu orang awam dan juga haiwan peliharaan. Beliau buat dengan sukarela dan ikhlas.
“Keenam, beliau sentiasa membuat orang lain ketawa dan tersenyum. Semua orang yang meluangkan masa dengannya sentiasa dapat aura positif dan sangat menenangkan bila bersama dengannya.
“Ketujuh, kata-kata beliau sarat dengan inspirasi dan pengajaran. Beliau sentiasa memberi kata-kata semangat dan motivasi buat orang di sekelilingnya,” coretnya.
Menerusi hantaran yang sama, beliau juga turut menyifatkan kehilangan Adibah sebagai sebuah butir mutiara seni yang pasti dirindui.
“Hilangnya sebuah butir mutiara seni yang pasti dirindui buat tanahair kita di Malaysia. Semoga kebaikannya terus mengalir dan menginspirasi kita semua ya,” tulisnya.
Terdahulu, industri seni dikejutkan dengan pemergian sebutir permata yang disayangi ramai, Allahyarham Adibah Noor.
Arwah sebelum ini pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV8).
Adibah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Jun 2022, kira-kira jam 6.00 petang di Hospital Gleanegles.
Arwah juga tidak memaklumkan tentang keadaannya yang menderita kanser Ovari tahap empat kepada umum.
Jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur, sekitar jam 9 pagi Ahad.
Lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir.
Antaranya Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar