Laman Utama
Sempat Tak Sedarkan Diri, Hos & Komedian Tukul Arwana Alami Pendarahan Otak
Komedian dan hos terkenal dari Indonesia, Tukul Arwana dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikhabarkan mengalami pendarahan otak, semalam.
Menurut laporan media tempatan, Tukul, 57, tidak sedarkan diri pada sebelah petang dan dibawa oleh pengurusnya ke hospital. Saat ini, Tukul menerima rawatan di Rumah Sakit Pusat Otak Nasional (RSPON) di Jakarta.
Anak lelaki Tukul, Ega Prayudi mengaku terkejut sebaik mendapat khabar ayahnya tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan otak.
Hal ini kerana dia berhubung menerusi telefon bersama ayahnya pada hari Rabu dan kali terakhir bertemu minggu lalu.
Ega juga mengaku tidak pernah tahu jika ayahnya mempunyai masalah kesihatan.
"Setahu saya ayah tidak ada riwayat penyakit. Jadi tahu tahu dapat berita dia tak sedarkan diri dan telah dibawa ke hospital," kata Ega seperti dilaporkan CNNIndonesia.
Bagaimanapun mengenai khabar ayahnya mengalami pendarahan otak, Ega mengatakan belum mendapat pengesahan lanjut daripada pihak hospital. Dia kemudian memberitahu keadaan ayahnya berada dalam keadaan stabil.
"Selepas mendapatkan rawatan, keadaan ayah masih Alhamdulillah normal. Nanti perkembangan selanjutnya akan saya update," katanya lagi.
Selain itu, Ega yang merupakan seorang anggota polis meminta doa daripada semua pihak agar ayahnya diberi kesembuhan.
Tukul yang menjadi terkenal menerusi rancangan Empat Mata juga kini semakin sinonim dengan rancangan One Man Show yang ditayangkan di Astro Aura.
Instagram: @tukul.arwanaofficial