Laman Utama
“Semua Dah Nak Terlingkup!”- Hattan Rayu Kerajaan Beri Moratorium
Penyanyi Datuk Hattan merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian moratorium secara automatik kepada golongan marhaen, terutama segelintir rakyat kini hidup dalam kesempitan.
Hattan meluahkan rasa kebimbangan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau 'total lokcdown' yang sedang dikuatkuasakan sekarang akan berterusan berikutan jumlah kes masih melebihi paras 4,000 sehari.
“Assalamualaikum. Apa khabar semua? Kes (jangkitan Covid-19) masih melebihi 4,000. Maknanya PKP akan berpanjangan. Jadi sekarang ini macam mana? Sebab ramai rakyat marhaen mengadu mereka dah nak ‘terlingkup’ (kesempitan hidup).
“Tolonglah beri mereka moratorium secara automatik sebab tak terdaya nak meneruskan hidup. Ada yang tidak bekerja, ada yang kerja gaji setengah bulan,” katanya.
Pelantun lagu Mahligai Syahdu itu berkongsi luahan tersebut menerusi satu hantaran dalam Instagramnya.
Katanya lagi, ramai rakyat bawahan terkesan sejak pelaksanaan PKP 3.0 lalu. Sebagai contoh, Hattan mengandaikan pekerja di kompleks beli-belah tidak dapat melakukan kerja lebih masa (over time) kerana ditutup sepanjang PKP 3.0.
“Pekerja kompleks beli-belah mengharapkan kerja lebih masa untuk mendapatkan wang lebih. Tapi sekarang sudah terjejas,” katanya.
Justeru, Hattan memohon pihak kerajaan memberikan moratorium bukan sahaja kepada rakyat biasa, tetapi juga kepada penggiat seni. Ujarnya, golongan penggiat seni juga terkesan sama seperti kebanyakan orang lain.
“Semua dah nak terlingkup dah. Peniaga kecil buka sampai pukul 8 malam. Biarlah mereka berniaga sampai pukul 10 malam.
“Kerajaan tolonglah kami. Kalau pasar raya besar pun boleh ‘meraung’, bagaimana nasib peniaga kecil?” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan pada 11 Jun lalu mengumumkan akan menyambung pelaksanaan PKP 3.0 untuk tempoh sehingga 28 Jun ini.
Keputusan diambil setelah mengambil kira jumlah kes harian melebihi 5,000 sehari. Semalam, Malaysia mencatat kes baharu Covid-19 sebanyak 5,244.