Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Seniwati Momo Latif Meninggal Dunia

Ahmad Shah 11/12/2015 | 04:03 MYT

Seniwati Momo Latif atau nama sebenarnya, Marfuah Makarim meninggal dunia petang semalam pada usia 92 tahun di kediaman anaknya di Woodlands, Ring Road Singapura.

Allahyarhamah yang cukup dikenali menerusi watak Ibu Rose dalam filem Pendekar Bujang Lapok menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 5.50 petang selepas berada dalam keadaan koma sehari semalam akibat darah tinggi.

Menurut anaknya, Kamaliah Latif, selepas menerima rawatan di hospital sejak Rabu lalu ibunya berada dalam keadaan kritikal selepas doktor mengesahkan pembuluh darah ke otaknya pecah.

“Selepas mendapat penjelasan doktor, kami adik-beradik sepakat membawa ibu pulang ke rumah. Saya bersyukur kerana pada saat akhir hayatnya semua 10 anak and cucu ada di sisi ibu,” jelasnya.

Momo Latif juga turut dikenali sebagai seorang penyanyi di era 30an hingga 70an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia dan Singapura.

Antara filem Melayu Klasik yang dibintanginya termasuk Musang Berjanggut, Si Tanggang selain filem arahan Mat Sentol seperti Mat Toyol, Mat Sarung Guni dan Mat Tenggek.

Selain itu Allahyarham Momo Latif turut dianugerahkan pingat Johan Bintang Sarawak daripada yang Dipertua Negeri Sarawak iaitu Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 9 September 2007.

Jenazah Allahyarhamah Momo Latif akan disembahyangkan di Masjid Ahmad Ibrahim sebelum dikebumikan di Pusara Abadi, You Chu Kang selepas solat Jumaat.

Olahan Oleh: Khalid Rahman

Sumber: BH Online

#Meninggal Dunia
;