Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

‘Seroja Dewi Harapan’, Uniknya Nama Anak Loque

Fiza Kamarudin 31/01/2017 | 15:05 MYT
Seroja Dewi Harapan...Unik sungguh nama anak kedua penyanyi dan komposer, Loque yang dilahirkan pada 21 Januari lalu.
Dilahirkan seberat kira-kira tiga kilogram di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya pada 21 Januari lalu, Loque menyifatkan Seroja membawa harapan tinggi kepada dirinya dan isteri.
"Saya anggap Seroja anak yang memberi harapan kepada ibu bapa. Ini kerana sejak dalam kandungan lagi, dua kali doktor mengesahkan anak ini sudah tidak bernyawa.
"Sebelum menjalani proses mencuci rahim, doktor mengimbas sekali lagi perut isteri. Tidak disangka-sangka, dia bernyawa. Kuasa Allah semuanya... kami bersyukur," katanya.
Loque berkata, sepanjang proses kehamilan, isterinya sering sakit.
"Sehinggalah ketika mahu bersalin, denyutan jantung bayi semakin rendah. Tetapi Alhamdulillah, isteri dan anak selamat sepanjang proses kelahiran," katanya.
Loque dan Dahlia mempunyai seorang lagi anak perempuan, Anggerik Dang Jelita yang berusia empat tahun.
Loque berkata, apabila melihat Seroja sempurna ketika dilahirkan, timbul rasa insaf dan syukur kepada Tuhan.
"Seroja mengubah saya daripada segi kerohanian dan menginsafkan saya melihat isteri bertarung nyawa saat melahirkan anak," katanya sambil menambah Seroja juga memberi harapan kepadanya dalam berkarya.
Tambah Loque, kehadiran Seroja menambah keceriaan keluarga biarpun suasana sedikit kecoh kerana perlu mengasuh dua anak. "Saya terima saja apa yang berlaku dalam kehidupan harian.
Cuma, bermulanya saat bergelar bapa, ketika kelahiran Anggerik, sehinggalah hari ini, kami bahagia sekeluarga.
"Buat masa ini, saya mahu berehat seketika untuk bersama isteri dan anak-anak. Kemudian, saya akan mula sibuk dengan kerja menghasilkan album baharu," katanya.
Loque berkata, album baharu berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa dijangka dilancarkan sebelum Aidilfitri tahun ini.
Sumber: BH Online
#Penyanyi #Anak #Penyanyi #Loque
;