Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Setahun Lebih Terpisah, Hisyam Hamid Syukur Dapat Balik Jumpa Keluarga Di Singapura

Mya Amri 13/09/2021 | 08:45 MYT
Pelakon Hisyam Hamid bersyukur akhirnya dapat pulang ke Singapura untuk bertemu keluarga selepas lebih 13 bulan berada di Malaysia kerana situasi semasa COVID-19.
Selain pandemik, Hisyam yang pulang ke Singapura pada 27 Julai lalu itu juga terikat dengan komitmen kerjaya seni di negara ini.
Menurut Hisyam, dia menjalani kuarantin selama dua minggu sebelum dibenarkan bertemu keluarga.
"Bagaimanapun saya hanya dapat bertemu isteri dan anak anak hanya pada 10 0gos lalu selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di sebuah hotel.
"Dapat melepas rindu akhirnya yang tak terbendung selama ini. Bayangkan kerana situasi tak terduga ini, saya juga buat kali pertama sambut Ramadan dan Syawal tanpa mereka.
"Selain dapat menghabiskan masa dengan mereka, saya paling takjub dapat meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan dengan isteri dalam sebuah sesi makan berdua di sebuah restoran. Moga perkahwinan kami akan kekal sampai syurga," katanya.

A post shared by Hisyam Hamid (@hisyamhamid7)

Malah aktor yang popular menerusi drama Ariana Rose itu juga berkata, dia cuba memanfaatkan kesempatan yang ada sebaik mungkin.
"Selepas setahun lebih tak bersama keluarga, jadi saya cuba penuhi masa yang ada dengan mereka. Setiap hari ada saja aktiviti dilakukan bersama. Saya juga cuba selit masa berjumpa rakan taulan.
"Rutin harian saya kini selepas bangun Subuh, hantar anak (Nurish Syameliah dan Hayden) ke sekolah. Selepas itu, saya bakar kalori dengan berjoging. Tengah hari macam itu, jemput semula anak dari sekolah.
"Kalau ada masa juga, saya akan bantu isteri menguruskan jualan barangannya di butik. Malah saya juga tolong isteri buat sesi siaran langsung di media sosial untuk mempromosikan barangan dijual. Khidmat penghantaran barangan jualan pun sesekali saya buat," katanya.

A post shared by Hisyam Hamid (@hisyamhamid7)

Ketika ini Hisyam berkata, dia masih menunggu isyarat daripada stesen TV dan produksi drama Cukup Derita Itu yang terhenti kerja penggambaran kerana sekatan pergerakan penuh Jun lalu.
Drama arahan Along Kamaludin itu hanya sempat disiarkan hingga episod 20. Baki penggambaran untuk episod 21 hingga 40 belum bermula lagi hingga kini.
"Kalau sudah dapat pengesahan untuk memulakan penggambaran kembali, barulah saya balik ke Malaysia," katanya.
#Hisyam Hamid #Keluarga
;