Hiburan
"Setahun Tak Dapat Rasa Saraf Tangan Kanan" - Naz 'Jalan-Jalan Cari Makan' Selamat Jalani Pembedahan Kali Ke-10
Pengacara yang popular dengan rancangan Jalan-Jalan Cari Makan, Nazrudin Rahman telah selamat menjalani pembedahan saraf tunjang di sebuah pusat perubatan swasta baru-baru ini.
Kata Naz, 41, kecederaan saraf tunjang yang dialaminya menyebabkan gangguan pada fungsi tangan kanannya selama lebih setahun.
"Tak mahu berlebih-lebih tetapi rasanya rahsia perlu dibongkarkan.
"Salah satu daripada tulang belakang saya telah menjejaskan saraf tunjang saya dan saya tidak boleh rasa pergerakan tangan kanan saya selama lebih setahun.
"Ketakutan membuatkan saya sering menangguh, sehinggalah mikrofon yang saya pegang sering terjatuh setiap kali di pentas. Tibalah masanya untuk saya mengatasi rasa takut itu!
"Tolak ke tepi risiko, Alhamdulillah, pembedahan itu berjalan lancar dan sekarang tengah dalam proses pemulihan di rumah bersama keluarga tersayang.
"Masih tak boleh pusing kepala tetapi cuba melakukan aktiviti ringan mengangkat bebadan di rumah. Sekarang saya sudah boleh mengangkat beban 5 kilogram.
"Perlahan dan sakit, tetapi apa lagi yang boleh dibuat ketika tempoh kuarantin?" kongsi Naz menerusi akaun Instagramnya pada Selasa.
Naz mendedahkan pembedahan yang dilaluinya baru-baru ini merupakan prosedur ke-10.
"Semoga ini menjadi pembedahan yang terakhir dan terima kasih atas doa dan minta maaf kerana tidak maklumkan kepada kawan-kawan.
"Sifat saya tak suka susahkan orang, jangan ambil hati ya," tambah Naz yang turut berkongsi paparan X-ray keadaan tulang belakang dan saraf tunjangnya.
Sepanjang proses pembedahan dan rawatan terbabit, Naz dijaga rapi oleh isterinya, Sheahnee Iman Leee.