Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

“Setiap Kali Menyusukan Anak, Dalam Hati Tolonglah Kurus…”- Dynas Mokhtar

Syafiqah Jalal 09/07/2019 | 06:47 MYT
Pelakon Dynas Mokhtar akui berat badannya belum kembali ke berat badan asal selepas selesai berpantang awal bulan ini.
Menurut Dynas, dia tidak merancang untuk melakukan ‘diet’ yang drastik bagi menurunkan berat badan kerana masih menyusukan bayinya, Edriel Obil yang dilahirkan pada 18 Mei lalu.
“Alhamdulilah, anak saya kali ini pandai menyusu dan mudah untuk saya menjaganya.
“Sekarang saya mahu fokus untuk menyusukan bayi saya dan kalau boleh sehingga usianya mencecah dua tahun.
“Jadi saya perlu mengambil makanan yang berkhasiat untuk mendapat hasil susu yang banyak.
“Bila menyusukan bayi ni, saya tidak boleh lah untuk mengamalkan diet yang drastik, tapi kadang-kadang itu setiap kali menyusukan anak, dalam hati berkata tolonglah kurus,” katanya berseloroh.
Dynas berkata meskipun sudah selesai berpantang 44 hari, pelakon itu memberitahu dia tetap perlu menjaga pemakanannya sama seperti ketika berpantang.
“Sebelum ini saya pernah sakit bentan kerana mungkin tersalah makan sesuatu atau terlalu penat.
“Jadi saya buat keputusan untuk terus menjaga pemakanan saya seperti ketika berpantang supaya tidak jatuh sakit lagi,” katanya lagi.
Dynas berkahwin dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, tahun lalu, selepas empat tahun bergelar ibu tunggal.
Melalui perkahwinan pertama, Dynas memperoleh dua anak iaitu Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7.

#Anak #Dynas Mokhtar #Diet #Berpantang #Menyusu
;