Nusantara
"Setiap Lirik Saya Tulis Buat Saya Sesak & Takut" - Melly Goeslaw Kongsi Kenangan Hasilkan Lagu OST Habibie & Ainun
Kisah cinta sejati antara BJ Habibie dan Ainun menjadi kekaguman rakyat Indonesia hingga diangkat menjadi filem Habibie & Ainun.
Berserta dengan filem itu juga, Melly Goeslow telah menghasilkan lagu Cinta Sejati yang dimuatkan sebagai runut bunyi filem lakonan Bunga Citra Lestari dan Reza Rahadian sekitar tahun 2012.
Berkongsi kenangan menghasilkan lagu itu, kata Melly setiap lirik yang ditulisnya membuatkan dia ketakutan.
"Kisah cinta Pak Habibie dan Ibu Ainun, menjadi inspirasi bagi hidup saya.
"Setiap lirik yang saya tulis selalu membuat dada saya sesak dan takut, takut kehilangan cinta saya, sedalam itu bapak mencintai ibu, hingga ibu selalu terasa hadir di setiap detak jantungmu.
"Tidak bisa saya bayangkan betapa sakit dan sepinya kehilangan yang kita cintai," kongsi Melly menerusi akaun Instagramnya malam tadi.
Melly turut menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan Presiden ketiga Republik Indonesia itu, BJ Habibie yang meninggal dunia lewat petang semalam.
"Sekarang Allah sudah menghentikan rasa sakit dan kesepianmu. Penantian ibu di keabadianpun sudah berakhir.
"Cinta bapak dan ibu melukiskan sejarah, menggelarkan cerita penuh suka cita , sehingga siapapun insan Tuhan pasti tau, cinta bapak dan ibu adalah cinta sejati.
"Terima kasih sudah membuat saya mengerti ertinya cinta sejati. Bahagialah di surga-Nya bersama cinta sejatimu," tulis Melly lagi.