Viral
Shahrol Shiro Dikasari Dua Pemuda Ketika Menyamar Jadi Gelandangan
Fiza Kamarudin
16/06/2017
|
09:59 MYT
Sebuah video memaparkan Pelawak Shahrol Shiro dikasari dua pemuda ketika sedang menyamar sebagai gelandangan, tular di media sosial Facebook (FB), sejak semalam.
Menerusi video tersebut, Shahrol yang sedang berehat di kawasan berhampiran Dataran Merdeka bersama seorang krew MaxMan TV, telah dihalau dua lelaki tersebut.
Lebih malang lagi, apabila pelawak tersebut ditolak sehingga terjatuh oleh pemuda-pemuda itu yang mendakwa mereka 'menjaga' kawasan tersebut.
Dua lelaki berbaju hitam itu turut berlagak seperti polis dan memeriksa tubuh Shahrol dan krew MaxMan TV.
Shahrol ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia terkejut apabila dikasari sedemikian kerana tidak melakukan sebarang kesalahan selain berehat melepaskan penat dan menumpang tidur.
“Kami tidak buat apa-apa tetapi mereka datang tiba-tiba dan halau. Saya minta mereka bertenang tetapi rayuan kami tidak diendahkan.
“Mereka berkasar dengan kami, mencekik leher dan menolak saya sehingga terjatuh,” katanya.
Kejadian tersebut berlaku ketika Shahrol sedang menjalani penggambaran untuk salah sebuah episod program sosial eksperimen yang disiarkan di platform Astro Gempak dengan kerjasama MaxManTV bertajuk, Undercover Selebriti.
Tambah Shahrol lagi, dia kecewa dengan tindakan dua lelaki terbabit yang tidak berhati perut kerana sanggup melayan gelandangan sebegitu rupa.
“Saya tidak sangka golongan gelandangan dilayan dengan teruk oleh sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
“Malah golongan ini sering di salah anggap sebagai penagih dadah dan penyumbang gejala sosial yang berlaku di kawasan tersebut. Kalau beginilah mentaliti orang kita, saya rasa masih jauh untuk kita mencapai status negara maju,” luahnya kesal.
Dalam pada itu, Shahrol turut berterima kasih kepada Astro Gempak dan MaxMan TV kerana menerbitkan program berbentuk eksperimen sosial seperti Undercover Selebriti.
“Pengalaman selama tiga hari sebagai gelandangan sudah cukup membuka mata dan minda saya. Selama ini kita mungkin tidak sedar yang gelandangan ini bukan setakat dipandang hina tetapi turut dikasari.
“Bagaimanapun, masih ada warga kota yang prihatin serta tidak memandang hina golongan ini,” katanya.
Sepanjang tiga hari menjalani penggambaran eksperimen sosial Undercover Selebriti, Shahrol bersama krew MaxMan TV merasai sendiri realiti hidup sebagai gelandangan.
Terdahulu, Shahrol telah berkongsi video eksperimen sosial tersebut di akaun FBnya.
Tidak sampai sehari video tersebut dikongsi di laman Facebook MaxMan TV, ia telah ditonton lebih 2 juta kali dengan 20 ribu perkongsian.
Rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan dua pemuda yang tidak berhati perut itu dan berpendapat sosial eksperimen yang dibawakan menerusi Undercover Selebriti berjaya membuka mata masyarakat tentang keperitan dilalui golongan gelandangan di negara ini.
Malah ada juga yang mahu isu gelandangan ini dipandang serius dan dibawa ke parlimen!
Undercover Selebriti merupakan sebuah program terbitan Astro Gempak dengan kerjasama MaxMan TV memaparkan beberapa selebriti melakukan penyamaran untuk menyelami realiti kehidupan warga kota dalam bentuk eksperimen sosial.
Selebriti yang terlibat dalam program ini ialah penyampai Era FM Jaa Suzuran, Shahrol Shiro dan Hisham Hamid.
Untuk menonton, layari www.astrogempak.com.my.