Laman Utama
Shuib Tegur Jangan Taasub BTS, Blackpink! - "Nabi Muhammad Yang Patut Kita Idolakan"
Pelawak dan usahawan Shuib menyeru orang ramai terutama ketua keluarga agar menerapkan amalan-amalan wajib dan sunnah terutama dalam mendidik anak-anak.
Mengambil iktibar daripada sesi perkongsian siaran langsung pada lewat petang Isnin lalu, jelas Shuib, pasangan suami isteri seharusnya merancang ke arah pembentukan sahsiah anak-anak mereka.
"Semoga live ni menjadi asbab untuk kita reset balik dengan pasangan kita, buat plan dengan pasangan kita, sehari 5 kali solat jemaah.
"Buka kitab baca hadis, kongsi hadis dengan anak-anak, baru cun," ujarnya.
Tambah Shuib, penjaga haruslah bijak untuk menegur anak-anak dan menyuburkan kecintaan terhadap idola yang diturunkan untuk umat Islam iaitu Nabi Muhammad S.A.W.
"Marah anak kita kalau idolakan BTS, Blackpink. Saya minta maaf, tapi bukan itu yang patut kita idolakan.
"Siapa yang patut idolakan? Allah Maha Bijak, diturunkan Nabi Muhammad (S.A.W), dia sebaik-baik contoh... Apa yang susah sangat?
"Kenapa nak idolakan BTS? Pahala pun tak dapat," tegurnya berhemah.
Bagaimanapun, nasihat Shuib itu mendapat respon kurang baik daripada kalangan peminat fanatik k-pop di media sosial.
Lebih mengejutkan apabila ada yang bertindak agresif mengutuk tindakan Shuib.
"Shuib acah bagus nak cakap yang idolakan BTS dan Blackpink tak dapat pahala as if kalau korang idolakan ko dan bini ko dapat pahala? Your wife died and the first thing went thru your mind is BTS?
"Yang ni aku marah, aku diam-diam tak kutuk bini kau. Habis yang korang jadi artis untuk apa? Ada peminat bagi? Jangan samakan Blackpink dengan Nabi! Aku pantang betul," demikian antara komen yang tular di media sosial sejak semalam.
Allahyarhamah Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Penyanyi lagu Kesetiaan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada kira-kira pukul 1.20 petang Isnin.
Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.