Shuib Teringin Watie Masak Menu Raya Wajib Arwah Siti Sarah - “Kalau Boleh Nak Kuah Kacang & Rendang”
Pelawak, Shuib meluahkan hasrat mahu isterinya, Watie Hanifiah meneruskan menu tradisi Allahyarham Siti Sarah pada pagi raya nanti.
Menurut Shuib, 40, menu yang dimaksudkan adalah kuah kacang dan rendang yang sebelum ini sering dimasak oleh arwah pada hari raya.
"Pertama kali kami beraya bersama jadi kalau boleh tahun ini saya nak dia masak kuah kacang dan rendang.
"Dulu pun, arwah Sarah sangat pakar memasak dua menu tersebut. Jadi, saya mahu kekalkannya," katanya kepada Gempak.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media bertempat di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Velley Megamall baru-baru ini.
Bakal menyambut raya di Bagan Serai, Perak, Shuib berkata dia teruja kerana akan menghimpunkan seluruh ahli keluarga di sana.
"Raya tahun ini insya-Allah lebih meriah sebab mahu kumpulkan seluruh keluarga termasuk adik-beradik dan famili mentua di Perak.
"Anak-anak teruja tambahan pula sudah empat tahun mereka berpuasa penuh dan mereka memang sangat ambil berat hal raya. Banyak aktiviti akan dilakukan untuk mereka," ujarnya.
BERITA TRENDING: Arwah Siti Sarah Muncul Dalam Mimpi, Watie - “Tak Sangka Tiba-Tiba Ada Rasa Cemburu”
BERITA TRENDING: Watie Tak Lelah Pakaikan Shuib Stoking Hari-Hari
Terdahulu, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun tahun lalu selepas hampir dua tahun ahli perniagaan itu menduda.
Sebelum ini Shuib atau Shahmira Muhammad berkahwin dengan Siti Sarah pada 2011, namun penyanyi tersebut menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.
Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 9, dan Ayash Affan kini berusia tiga tahun.