Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

“Siapa Mampu Sabar Dua Tahun Renovate Rumah Saya Tak Siap-Siap! – Che Ta Habis Jutaan Ringgit

Fiza Kamarudin 30/01/2020 | 12:19 MYT
Pelakon dan penerbit Rozita Che Wan akhirnya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kontraktor yang melakukan pengubahsuaian kediamannya sejak dua tahun lalu.
Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan nama Che Ta berkata, selepas banyak wang dibelanjakan kediaman jenis banglo miliknya itu masih belum diselesaikan kontraktor.
“Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah saya tak siap-siap.
“Apabila mengupah kontraktor Melayu atas niat membantu bangsa sendiri, inilah hasilnya. Bukan hendak memalukan orang Melayu, tapi inilah hakikat yang saya hadapi. Kita bagi rezeki, mereka kerja main-main.
Che Ta mendakwa sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk projek pengubahsuaian kediamannya itu.
“Saya lantik kontraktor ini atas saranan teman. Nampaknya, kadang-kadang, cadangan kawan pun tak boleh pakai,” katanya.
Tambahnya lagi, sikap kontraktor terbabit amat mengecewakan.
“Bayangkanlah, kalau tak bayar duit, kerja tak jalan. Apabila kita bayar, sikit-sikit minta wang lagi.
“Mungkin mereka guna duit tidak betul sehingga kerja jadi tergendala. Peruntukan membayar pekerja dan membeli bahan binaan juga mungkin kehabisan,” katanya.
Rozita berkata, dia memberi tarikh akhir iaitu 10 Januari lalu kepada kontraktor terbabit untuk menyiapkan semua kerja.
“Balkoni, lantai, itu dan ini semuanya tak siap. Akhirnya mereka lari. Sekarang saya terpaksa buat pelan B dengan melantik kontraktor baharu menyudahkan semua kerja,” katanya.
Rozita mendakwa sudah puas menghubungi nombor telefon dan melayangkan mesej kepada kontraktor terbabit, namun, tidak mendapat balasan.
“Saya diberi bermacam-macam alasan seperti seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.
“Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun Facebook kontraktor terbabit. Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain,” katanya.
Sumber: BH Online
#Che Ta #Rumah Baru
;