Laman Utama
“Siapa Nak Gelaran Miss J?”- Nadia Brian Malu Jadi Janda
Meskipun sudah hampir setahun bercerai, pelakon Nadia Brian akui dia masih menerima tohmahan dan persepsi yang tidak baik mengenai statusnya kini sebagai janda atau Miss J.
Nadia memberitahu sehingga kini dia masih ada rasa malu membawa gelaran itu tetapi tetap reda dengan ketentuan Tuhan.
“Saya tiada rasa bangga atau selesa dengan gelaran ini tetapi seperti yang kita tahu kalau zaman dahulu ia perkara yang memalukan dan tak nafikan saya masih ada rasa malu itu.
“Keluarga saya pun tak mahu ia berlaku terhadap saya tetapi ia sudah terjadi dan kami terima.
“Siapa yang nak kahwin dan jadi janda? Sepatutnya kita di tahun 2022 tiada lagi orang yang suka mengata atau mendiskriminasi benda ini. Kita tak tahu punca boleh terjadi kepada mereka dan belum jamin lagi masa depan kita bagaimana,” katanya kepada Gempak.
Nadia berkata kepada Gempak selepas majlis pra-tonton drama bersiri premium berjudul KUASA yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur semalam.
Pun begitu, menurut Nadia lagi, dia kini selesa dengan kehidupan ‘single’ kerana sedang fokus dengan kerjayanya.
“Sekarang ni saya memang mahu fokus untuk kerja sahaja. Bukan tak nak fikir soal kahwin kerana serik atau apa, cuma saya mahu bagi masa dalam setahun dua lagi,” beritahunya.
Sementara itu, mengulas mengenai drama KUASA, Nadia akui ia satu pengalaman yang hebat apabila pertama kali diberi peluang untuk berlakon dalam drama jenis premium.
“Saya gembira kerana diberi peluang pertama kali berlakon dalam set drama yang premium ini.
“Ia sangat menakjubkan semua pra-produksi dilakukan dengan sangat details seperti berlakon filem dan bila tonton hasilnya tadi memang berbeza dan luar biasa,” ujarnya.
Selain Nadia, KUASA yang merupakan Astro Original siri itu membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.
Drama yang bakal menemui penonton mulai 11 April ini mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.
KUASA menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya. Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.
Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 11April ini. Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.
Foto: Astro/ Azrul Rafie