Laman Utama
Simpan Hasrat Sejak Kecil, Shakilla Khoriri Kongsi Perjalanan Daki Gunung Kinabalu - “Penat Yang Berbaloi..”
Aktres Shakilla Khoriri berkongsi perjalanannya menawan Gunung Kinabalu berkat daripada impian yang lama tersimpan sejak kecil.
Menurut Shakila atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 33, dia bersyukur apabila rezeki daripada Allah SWT dapat melunaskan hasratnya bersama kawan-kawan untuk ke Sabah bagi mencapai misi puncak Kinabalu.
“Allah izinkan aku tengok banyak benda cantik yang Dia ciptakan. Setiap benda yang aku tengok aku jadi sebak. Cantik, bau gunung yang sangat sedap, dekatnya aku rasa diri aku dengan semua yang ada dekat sini. Penat itu pasti tapi sajian mata lagi hebat. Penat yang berbaloi. Semakin tinggi semakin berdebar.
“Belum lagi rasa kagum dekat malim-malim gunung yang pikul berpuluh KG barang naik turun gunung. Subhanallah, Allah beri kekuatan pada manusia berbeza-beza untuk cari rezeki,” luah Shakila.
Menerusi laman sosial Instagram, pelakon drama bersiri Aku Bukan Bimbo itu memuat naik sebuah hantaran berbentuk video mempamerkan perjalanannya mendaki Gunung Kinabalu.
Dalam pada itu, Shakilla turut memaklumkan setiap cabaran yang ditempuh ketika proses mendaki membuatkan dia lebih mengerti liku-liku kehidupan.
“Sambil aku melangkah sambil aku berfikir banyak perkara. Pasal diri sendiri, pasal manusia yang aku jumpa, pasal hidup mati aku, pasal anak dan orang tua aku, pasal kesilapan dan kesalahan, pasal rasa dan perasaan.
“Aku rasa terlalu tenang untuk buat setiap keputusan dan motivate diri sendiri untuk jadi manusia yang lebih baik. Rasa tenang untuk muhasabah diri sendiri, terlalu tenang,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Shakilla memuat naik perkongsian terkini yang dia tidak dapat mendaki sehingga ke puncak Kinabalu berikutan cuaca buruk.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima lebih 100,00 tontonan daripada pengikutnya.
Untuk rekod, Shakilla mendirikan rumah tangga dengan Fizi Ali pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata Ameena Sofia.
Fizi kemudiannya mengejutkan orang ramai apabila mendedahkan berita perpisahan dalam laman Instagram pada 15 Disember, tahun lalu.