Laman Utama
Single Baru Tidak Berentak Reggaeton, Andi Bernadee Dah ‘Penat’?
Meskipun baru memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017, penyanyi Andi Bernadee
berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki yang cukup terkenal pada masa kini.
Populariti Andi Bernadee atau lebih mesra disapa Andi ini naik mendadak dengan lagu hits ‘Satu Peluang’, ‘Donde’ dan ‘Shimmy’ yang mengetengahkan genre reggaeton.
Lagu-lagu popularnya ini bukan sahaja menjadi siulan ramai malah berjaya mencipta fenomena tersendiri.
Yang terbaru, Andi baru sahaja melancarkan single ketujuhnya berjudul ‘Penat’ yang membawakan rentak balada.
Kali terakhir Andi mempertaruhkan lagu balada menerusi single pertamanya ‘Tiada Lagi Maaf’.
“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya merealisasikan hasrat untuk menyajikan kelainan buat para peminat saya.
“Penat merupakan lagu ciptaan saya sendiri bersama komposer Nur Iman dan Efry Arwis. Istimewanya Penat dengan lagu balada lain ialah rentaknya sedikit berbeza.
“Dan kali ini lagu saya sedih dan beremosi sedikit kerana ia berkisarkan tentang perjuangan dalam mengharungi pahit manis kehidupan.
“Saya berharap lagu ini mendapat sambutan positif pendengar walaupun ianya berbeza daripada lagu-lagu hits saya sebelum ini,” katanya kepada Gempak.
Tambah Andi lagi, dia nekad mempertaruhkan lagu berentak balada kali ini kerana mahu keluar daripada zon selesa.
“Walaupun saya berjaya menempa nama melalui muzik reggaeton, namun kali ini saya nekad untuk untuk mempertaruhkan lagu balada pula.
“Saya mahu keluar daripada zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik dalam karya saya.
“Memang ini bukan kali pertama saya membawakan lagu berentak balada, namun karya kali ini mempamerkan jenis balada yang berbeza dan lebih sesuai dengan citarasa muzik saya.
“Lagu ini saya tuju khas buat para peminat yang setia menyokong saya selama ini. Saya tidak akan pernah penat menghasilkan karya-karya terbaik untuk mereka.
“Video muzik rasmi ‘Penat’ juga merupakan antara video muzik yang memakan kos tertinggi pernah dihasilkan setakat ini,” katanya.
Single ‘Penat’ terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 16 September 2020.
Video muzik rasminya juga sudah boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula semalam.