Hiburan
Sissy Prescillia Terapkan Pengalaman Hidup Dalam Watak
Pelakon Indonesia, Sissy Prescillia mendedahkan filem Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) sangat dekat dengan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu.
Menurut Sissy, dia menerapkan pengalaman dirinya dalam watak Milly.
"Saya pernah mengalami di mana ketika Milly mempunyai anak, Sakti.
"Saya berasa gembira dengan kehidupan sebagai seorang ibu.
"Namun, saya juga penat serta menginginkan kehidupan.
"Saya ingin bertemu dengan kawan-kawan dan berkongsi cerita bersama suami. Saya berasa tertekan dan bosan.
"Dengan pengalaman kehidupan yang saya lalui, saya terapkan dalam watak Milly," katanya kepada Gempak.
Sissy ditemui ketika sidang media filem Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) di One Utama, baru-baru ini.
Tambah pelakon Ada Apa Dengan Cinta 2 ini berkata filem Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) juga berkaitan dengan ramai orang.
"Bagi saya, konflik dalam filem ini sangat berkaitan dengan ramai orang.
"Contohnya pasangan muda yang baru mempunyai anak, kegigihan meneruskan kehidupan serta ingin menggapai impian tetapi harus mengabaikan keluarga.
"Disebabkan itu ramai orang merasa watak dalam filem ini adalah diri mereka.
"Oleh sebab itu ia berlainan dengan Cinta dan Rangga kerana kita hanya melihat 'prom king' dan 'prom queen' sahaja," katanya lagi.
Selain Sissy, antara barisan pelakon yang turut membintangi filem itu adalah Dennis Adishwara, Ernest Prakasa, Julie Estelle, Yoshi Sudarso, Dian Sastrowaedoyo, Adinia Wirasti, Titi Kamal dan ramai lagi.
Filem Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 Mac.