Laman Utama
Siti Nurhaliza Komen Trend Artist Malaysia Nicest & Rudest: “Kalau For Fun Pun Tak Fun”
Sejak beberapa minggu lalu pengguna platform terutama di Twitter heboh dengan trend yang digelar Artist Malaysia Nicest & Rudest.
Trend ini menyaksikan warganet meletakkan dua keping gambar selebriti yang satunya digelar nice atau baik sementara satu lagi rude atau biadab.
Mengaku baru sedar tentang trend tersebut, Datuk Sri Siti Nurhaliza selaku pesohor senior dan mempunyai peminat dalam pelbagai lapisan masyarakat diminta memberi pandangan terhadap trend yang menjadi ikutan itu.
“Pada saya ini tidak adil dan kita tidak boleh menilai orang dari kali pertama berjumpa. Mungkin pada waktu itu keadaan tidak mengizinkan atau ada masalah dan mungkin pertama kali jumpa tak okay namun pada pertemuan lainnya akan okay.
“Jadi misalnya untuk for fun (suka-suka) pun tak fun kerana ada perkataan rude atau biadab itu,” komen Siti sewaktu ditemui dalam sidang media David Foster & Friends yang diadakan di Heritage Club, The Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Penyanyi Biarlah Rahsia itu bagaimanapun faham sebagai selebriti atau public figure kehidupan mereka akan selalu diperhatikan dan menjadi tumpuan. Namun sebagai manusia biasa, selebriti juga melakukan kesalahan dan punya kekurangan.
“Zaman media sosial semua orang boleh cakap apa saja tapi kenali dan jangan jatuh tanggapan.
“Walaupun artis, kita manusia ada hati dan perasaan. Dalam kerjaya kita telah meletakkan diri sebagai public figure, orang menilai tapi jangan biarkan orang menilai kita dengan mudah.
“Kita manusia biasa, buat salah. Saya pun ada kurang, khilaf. Misalnya sewaktu bertemu peminat kita sedang bad mood atau memang ada hal penting, tolak dengan baik supaya orang tidak menilai kita dengan buruk. Jaga akhlak,” pesan figura yang mempunyai kelab peminat, SitiZoners.