Slam Tak Kisah Digelar Band Leman - “Kami Okay Saja Sebab..."
Kumpulan pop lagenda, Slam mengakui tidak terkesan dengan panggilan band ‘kampung’ yang diberikan oleh segelintir pihak seperti yang dikatakan oleh netizen.
Sebaliknya mereka berbangga kerana tetap ada peminat yang masih menerima mereka sehingga masa kini.
"Kami tidak kecil hati langsung kalau ada yang beri gelaran band kami kampung, 'leman' atau sebagainnya.
"Alhamdulillah, kami okay saja sebab lagu yang kami bawa memang begitu dan tak salah untuk mereka gelarkan lagu kami lagu 'leman' sebab memang konsep kami begitu dan saya tak kisah pun kerana sudah lama kami buat konsep sedemikian,” kata Zamani selaku vokalis kumpulan Slam.
Zamani ditemui pada sidang media Konsert Slam yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Rabu.
Mengulas lebih lanjut mengenai konsert di DFP pula, Zamani berkata, pihaknya berasa bangga dan terharu kerana diberi kepercayaan untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya pada 8 Jun depan.
Berita Trending: Catat Kehadiran Paling Tinggi Dengan 81,812 Penonton, Konsert Coldplay Di Kuala Lumpur Raih…
Menurut Zamani, ia merupakan satu penghargaan dalam sejarah penubuhan kumpulan Slam selepas tiga dekad mereka berkecimpung dalam industri muzik tanah air.
“Apabila pihak DFP dah nak panggil Slam bermakna dengan apa yang kami persembahkan maksudnya sudah diterima oleh DFP.
“Kami bangga dengan muzik yang kami (Slam) bawa sebab sampai sekarang orang boleh terima lagi lagu-lagu kami," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai aspek kesihatannya pula, kata Zamani, setakat ini, semuanya berada dalam keadaan baik.
"Kesihatan saya baik setakat ini dan kita harap semuanya okay pada malam konsert nanti,” tambahnya lagi.
Selain Zamani, kumpulan Slam turut dianggotai Shah selaku pemain gitar utama, Eddie (keyboard), Man (pemain dram) dan Lili (basis).