Berita
"Soal Kau Dengan Allah Itu Selesai, Soal Kau Dengan Manusia, Makhluk Tu Kau Kena Jumpa Sampai Langsai" - Iqram Dinzly Bimbang Keadaan Netizen Yang Angkuh
Pelakon Iqram Dinzly meluahkan rasa bimbang dengan sikap netizen pada masa kini yang disifatkan terlalu bongkak dan angkuh ketika menggunakan media sosial.
Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 39, berkata, lebih merisaukan, ada netizen yang bertindak mempercayai segala apa yang dikongsikan tanpa menyelidik
"Aku cukup risau keadaan netizen ke depan nanti. Apabila terlalu taksub dengan jari-jemari yang gerakannya melalui kata hati .
"Rata-rata terlalu bongkak, sombong, angkuh dan pentingkan diri sendiri sedangkan hak privasi individu dicerobohi tanpa ada adab dan adat. Mereka yang hanya membaca, terus mempercayai dengan kebijaksanaan netizen mencipta persepsi," luahnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Menurut Iqram lagi, lebih menakutkan, apabila sifat masyarakat pada masa kini juga seolah-olah tidak pernah takut akan natijah atas setiap perbuatan mereka.
"Nak cerita panjang pun tak guna di sini. Sah-sah ramai yang akan katakan nanti 'eh suka hatilah sebab soal mati belum tentu lagi dan apa yang susahnya ke depan nanti, buat solat taubat, minta pada Allah supaya diampunkan nanti'.
"Hell O ... soal kau dengan Allah itu selesai. Soal kau dengan manusia..makhluk tu kau kena jumpa sampai langsai," coretnya.
Perkongsian Iqram itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh pelakon filem Evolusi KL Drift itu.
"Terima kasih atas peringatan ini.
"Setuju sangat," komen sebahagian netizen.
Sejak beberapa hari lalu, Iqram banyak berkongsi mengenai sifat-sifat manusia pada masa kini menerusi beberapa posting di Instagram miliknya.