Sonny Bill Williams Luangkan Masa Bersama Pelajar Netizen Puji - "Dia Bukan Sahaja Idola Ragbi.."
Pemain lagenda ragbi, Sonny Bill Williams, meluahkan rasa terharu apabila menerima sambutan hangat dan layanan mesra daripada rakyat Malaysia sejak tiba di negara ini pada minggu lalu.
Perkara itu dikongsikannya dalam satu hantaran akaun X miliknya.
"Kebaikan dan hospitaliti yang ditunjukkan rakyat Malaysia bukan sahaja mengharukan tetapi membuatkan saya merasa rendah diri.
"Alhamdulillah untuk perjalanan hidup yang penuh berkat ini," katanya.
Dalam pada itu, Sonny juga menerusi hantarannya di Instagram nya baru-baru ini sempat membuat lawatan dan beramah mesra bersama pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.
Video yang dikongsi memaparkan gerak aksi serta laungan bertenaga pelajar yang sedang melakukan “hakka” yang diketuai oleh Sonny.
“Hari memperkasakan diri bersama pelajar dari Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak.
“Kami sempat berbincang mengenai sukan, keimanan, dan cara memupuk minda pertumbuhan dengan standard yang tinggi.
“Alhamdullilah untuk perjalanan kehidupan yang berkat ini, tulisnya di ruangan kapsyen hantaran itu.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen netizen sempat memuji Sonny dan menyifatkan dirinya sebagai lagenda yang patut dicontohi.
“Wahai anak? dia bukan sahaja idola ragbi lihat lah macam mana dia bawak agama di kehidupan seharian.
“Ini merupakan influencer yang diperlukan untuk anak-anak muda.
“Untung nya pelajar ni boleh jumpa dan meluangkan masa bersama Sonny, saya harap anak saya boleh juga jumpa dengan Sonny sebab dia minat sangat,” komen beberapa netizen.
Untuk rekod, Sonny turut dijemput oleh Masjid Putra, Putrajaya bagi menyemarakkan gelombang kempen #GengSubuhMacamJumaat pada 25 Februari (Ahad) ini.
Sekadar info, Sonny Bill Williams merupakan salah seorang pemain Ragbi terbaik dunia dan telah mewakili New Zealand semenjak tahun 2010.
Beliau pernah berkata jiwanya merindui sesuatu tetapi tidak tahu apakah itu.
Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama islam pada tahun 2009.