Laman Utama

“Stay Strong & Come Back Stronger!!!” – IG Brendan Gan Dihujani Kata-Kata Semangat Selepas Sahkan Menghidap Kanser Testis

Fiza Kamarudin
26/07/2021
23:24 MYT
Sponsor Banner
“Stay Strong & Come Back Stronger!!!” – IG Brendan Gan Dihujani Kata-Kata Semangat Selepas Sahkan Menghidap Kanser Testis
Ruangan komen laman sosial Instagram (IG), Brendan Gan dihujani kata-kata positif dan tiupan semangat daripada warganet selepas mengetahui pemain tengah kebangsaan itu menghidap kanser testis.
Rata-rata mereka mendoakan agar Brendan terus positif menjalani fasa pemulihan dan berharap agar dia dapat kembali ke arena bola sepak dengan semangat yang baru.
Semalam, Brendan menerusi sebuah hantaran mengesahkan menghidap kanser testis dan berkongsi mengenai keadaan terkininya.
Menurut Brendan dia bakal diketepikan untuk tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif. Tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk kekuatan diri.
“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan menghidap kanser testis dan saya sudahpun melakukan pembedahan.
“Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan," katanya.
Bagaimanapun kata kapten skuad Selangor FC yang berusia 33 tahun itu, kanser tidak sesekali boleh mematahkan semangatnya untuk kembali berada di padang bola sepak.
“Apa yang pasti, saya sangat bertuah apabila dikelilingi individu yang sentiasa memberi sokongan terutama keluarga, rakan-rakan terdekat dan komuniti bola sepak tempatan.
“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dan akan kembali ke padang bola sepak bersama pasukan Selangor secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Selangor FC meminta semua pihak agar mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada pemain kelahiran Australia itu sepanjang tempoh pemulihannya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar