Berita
"Suami Sangat Memahami Apa Yang Saya Mahukan, Tapi ....." - NJWA
Penyanyi NJWA mengakui bersyukur apabila mendapat seorang suami yang sangat memahami dirinya terutama dalam bidang muzik.
Menurut NJWA atau sebelum ini dikenali sebagai Najwa Mahiaddin, pengalaman yang ada pada suaminya, Idris Koh Keng memudahkan kerjanya dalam bidang seni.
"Saya dan suami telah lama bekerjasama dalam bidang muzik sejak kami belum berkahwin lagi.
"Suami sangat memahami dengan apa yang saya mahukan tetapi ada kalanya kami akan berbalah akibat tidak sependapat namun semua itu pasal urusan kerja.
"Mudah sebenarnya bekerja dengan suami kerana kami dapat bertukar idea dan berlatih bersama-sama.
"Jadi apabila ada tawaran mengadakan persembahan kami sudah bersedia dan cuma lakukan pemilihan lagu yang sesuai untuk persembahan tersebut," katanya kepada Gempak.
NJWA berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 bersama NJWA, di PWTC, Kuala Lumpur pada Rabu.
Orang ramai yang ingin menyaksikan persembahan konsert Zee Avi dan NJWA sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 boleh dapatkan tiket di airasiaredtix.com.
Tiket dijual pada harga RM88, RM128, RM188, RM228, RM288 dan RM388 (Meet and Greet).