Hiburan

Suami Zahnita Wilson Ditahan

Gempak
02/12/2024
13:31 MYT
Sponsor Banner
Suami Zahnita Wilson Ditahan
Suami kepada pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan selepas wanita itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya ketika dihubungi malam ini.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian berlaku pada jam 10 pagi 26 November lalu apabila pelakon terbabit berada di kediaman di Kuantan didatangi suaminya sebelum berlaku perselisihan faham.
"Difahamkan pelakon terbabit ingin tinggal berasingan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Ketika itu, mangsa diugut suaminya yang ingin membunuhnya jika keluar dari rumah sebelum dicederakan," katanya.
Terdahulu media melaporkan hantaran terkini dimuat naik pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam.
Tidak memperincikan apa yang berlaku, Zahnita atau nama sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, seboleh-bolehnya dia enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian.
"Saya tidak mahu melakukan ini (kongsi foto), tetapi saya terpaksa. Ini menjadi punca kenapa saya tinggalkan rumah lama serta menjadi sebab saya selalu pakai cermin mata hitam," tulisnya.
Susulan pendedahan dibuat pelakon Kuliah Cinta itu, ramai pengikut termasuk rakan selebriti meluahkan simpati dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku terhadap model berwajah Pan Asian itu.
Malah, ramai juga yang mendoakan Zahnita terpelihara daripada perbuatan yang membahayakan keselamatan dirinya.
Antara rakan selebriti yang prihatin adalah Che Puan Sarimah Ibrahim, Sharifah Shahirah. Salamiah Hassan, Norish Karman, Tiz Zaqyah dan Zarina Zainoordin.
Terdahulu, pelakon itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024