Laman Utama
Sudah Lebih Setahun Berkahwin, Elizabeth Tan & Suami Masih Tidak Tinggal Sebumbung
Sudah lebih setahun bergelar isteri, namun penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan masih tidak tinggal sebumbung dengan suaminya, Dr Siew Jim.
Menurut Elizabeth, sehingga ke hari ini, kedua-dua mereka masih tinggal di rumah ibu masing-masing dan hanya bertemu apabila tibanya hari cuti.
“Dia akan datang berjumpa saya sekitar satu atau dua kali seminggu. Sebenarnya ia lebih menarik sebab kami anggap hubungan kami ini masih dalam fasa bercinta dan ia menyebabkan ada lebih ruang untuk rasa rindu.
“Jujurnya saya tidak bersetuju dengan keputusan ini. Yelah, kalau dah berkahwin mesti kena tinggal sebumbung. Bagaimanapun, kami enggan melihat ibu kami tinggal seorang diri pula.
“Disebabkan ibu saya dan mentua tidak mahu tinggal bersama, saya sudah terbiasa dan lebih suka begini sebab kami dapat jaga dan beri perhatian kepada ibu masing-masing,” katanya kepada Gempak.
Elizabeth ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Abang Long Fadil 3 di ibu kota baru-baru ini.
Melanjutkan bicara, Elizabeth berkata, dia dan suami ada berbincang untuk tinggal bersama jika suatu hari nanti mereka dikurniakan anak.
"Kalau sudah ada anak baru kami akan mempertimbangkannya. Mana mungkin saya nak jaga anak seorang diri. Sebenarnya, saya mengambil ubat perancang kehamilan selama dua tahun. Saya mengambilnya selepas selesai penggambaran filem Abang Long Fadil 3.
"Namun, saya cuba nak hamil, sekitar hujung tahun ini. Jika diikutkan, saya sudah merancang kehamilan, Julai lalu tetapi banyak pula 'job' (tawaran pekerjaan) masuk. Jadi terpaksalah dianjak ke bulan seterusnya. Namun, disebabkan jadual kerja semakin padat, rancangan cuba mendapatkan cahaya mata dianjak sekali lagi sehingga Oktober," katanya.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth bakal muncul sebagai watak utama menerusi filem Abang Long Fadil 3. Diarahkan oleh Syafiq Yusuf, filem terbabit turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Zizan Razak, Johan, Maya Karin, Datuk AC Mizal dan ramai lagi.
Elizabeth juga diberi tanggungjawab untuk membawakan lagu runut bunyi bagi filem itu berjudul Payung yang turut menampilkan Zizan sebagai pelakon utama. Filem Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia pada 8 September 2022.